KUALA LUMPUR: Seramai 280 pelajar baharu institusi pengajian tinggi (IPT) di Parlimen Titiwangsa menerima bantuan kewangan bagi membantu meringankan kos keperluan pengajian mereka.
Setiap pelajar menerima RM1,000 menerusi program sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Johari berkata, bantuan berkenaan diberikan setiap tahun sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke menara gading.
Beliau berkata, pemberian sumbangan dalam bentuk wang berbanding komputer riba sebelum ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar menggunakannya mengikut keperluan pengajian masing-masing.
“Program ini sudah dilaksanakan sejak 2013 dan kali ini ia membabitkan pelajar baharu IPT. Kalau kita nak keluar daripada kerangka generasi kemiskinan, kita tidak boleh lari daripada mempunyai pendidikan sempurna sama ada di sekolah rendah, menengah dan pada peringkat tinggi.
“Pendidikan sangat penting. Kalau kita dapat memberikan pengkhususan kepada pendidikan, ia boleh mengubah segala-galanya sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Terdahulu, Johari turut mengunjungi dan merasmikan Program Karnival Malurians Fun Day 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri.
Ketika lawatan itu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan penganjur. – UTUSAN











