BANGKOK: Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan situasi bencana di semua 50 daerah di ibu negara Thailand itu selepas hujan lebat selama hampir 48 jam menyebabkan banjir teruk.
Gabenor Bangkok menggesa penduduk supaya kekal di rumah selepas hampir 300 milimeter hujan direkodkan sejak petang Khamis.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, turut memendekkan lawatan ke London bagi kembali ke negara itu susulan keadaan itu.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan bencana di kesemua 50 daerah di bandar itu, sekali gus memberi kuasa khas kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan.
“Air terus naik dan paras air sudah sampai ke pinggang. Saya rasa kali ini lebih teruk berbanding banjir 2011,” kata seorang penduduk di utara pusat bandar Bangkok, Somkid Pheuk-ngam.
Banjir besar yang melanda Thailand pada 2011 meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan berjuta-juta kediaman.
Menurut tinjauan AFP, hujan turun hampir setiap sejak petang Khamis, menyebabkan jalan raya ditenggelami banjir dan paras air di terusan Bangkok meningkat sehingga menjejaskan banyak kediaman dan premis perniagaan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata kawasan timur bandar itu paling teruk terjejas dan memberi amaran lebih banyak hujan diramalkan turun.
“Hujan masih turun dan kami sedang melakukan yang terbaik. Kami cuba mengepam keluar air, tetapi terusan sudah penuh. Penduduk yang tinggal berhampiran terusan adalah antara yang berisiko. Semua terusan kini sudah dipenuhi air,” katanya menerusi media sosial semalam.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand pula memberi amaran mengenai sistem tekanan rendah yang melanda kawasan timur, timur laut dan tengah negara itu sehingga Ahad.











