KPM tidak akan lindungi pembuli di SMK Za’ba - Fadhlina

KPM tidak akan lindungi pembuli di SMK Za’ba – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan melindungi pembuli yang menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Fadhlina menyantuni keluarga Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan disahkan meninggal dunia pada malam tadi.

Fadhlina berkata, KPM akan menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian tersebut.

“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Katanya, beliau sudah hadir ke sekolah berkenaan untuk bertemu dengan warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak PDRM bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut serta tindakan yang telah diambil.

“Siasatan berhubung kejadian ini sedang dijalankan oleh PDRM. Saya dimaklumkan bahawa seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan.

“KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×