Imej Trump bersama Jinping diubah guna AI

Imej Trump bersama Jinping diubah guna AI

IMEJ yang dimuat naik di platform Truth Social itu memaparkan Trump memberi tabik hormat di sebelah Jinping, dengan pesawat Air China di belakang mereka dan sebuah jet tentera terbang di ruang udara.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin berkongsi imej ketibaan Presiden China, Xi Jinping, di Washington yang dipercayai diubah menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Imej yang dimuat naik di platform Truth Social itu memaparkan Trump memberi tabik hormat di sebelah Jinping, dengan pesawat Air China di belakang mereka dan sebuah jet tentera terbang di ruang udara.

Bagaimanapun, perbandingan dengan gambar sebenar yang dirakam AFP dan agensi berita lain serta rakaman langsung Rumah Putih ketika sambutan ketibaan Jinping pada Rabu menunjukkan beberapa perbezaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar forensik digital berkata, perbezaan berkenaan menunjukkan kemungkinan imej itu diubah menggunakan AI.

Beberapa alat pengesanan AI turut menunjukkan imej berkenaan berkemungkinan dihasilkan atau diubah menggunakan teknologi tersebut.

Antara perkara yang ketara ialah ketiadaan reaksi Trump ketika jet tentera melintas dengan bunyi kuat dalam imej yang dikongsinya.

Dalam rakaman sebenar, Trump dilihat mengerutkan wajah sebagai reaksi terhadap bunyi kuat itu, sebelum momen berkenaan menjadi bahan ejekan pengkritik di media sosial dan pengacara rancangan bual bicara lewat malam, Jimmy Fallon.

Selain ketiadaan riak wajah Trump yang jelas dalam rakaman sebenar, imej yang dikongsinya turut memaparkan beliau memakai tali leher biru polos dan hanya satu sarung tangan hitam.

Sebaliknya, gambar dan rakaman video agensi berita menunjukkan Trump memakai tali leher berjalur serta kedua-dua tangannya dilindungi sarung tangan.

Seorang wanita di latar belakang sebelah bahu kiri Trump turut digambarkan memakai kasut berbeza berbanding yang kelihatan dalam rakaman sebenar ketika kejadian itu.

Pakar forensik media Universiti Drexel, Matthew Stamm, berkata analisis menggunakan perisian khusus mendapati imej itu mempunyai tanda yang kuat menunjukkan ia dihasilkan atau diubah menggunakan AI.

Beliau menyifatkan kesan statistik berkenaan seperti ‘cap jari yang ditinggalkan penjenayah di tempat kejadian’.

Trump sememangnya diketahui sering memuat naik imej dan meme yang dijana AI di akaun Truth Social miliknya, namun hantaran mengenai lintasan jet itu dibuat ketika beliau berdepan usaha luar biasa untuk menyekat wartawan CNN, Politico dan MS NOW daripada memasuki Rumah Putih berhubung liputan yang dilabelnya sebagai berita palsu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×