Sepanyol uji kebangkitan England

Sepanyol uji kebangkitan England

Thomas Tuchel memberi taklimat kepada skuad England dalam sesi latihan di St George's Park, kelmarin menjelang pertemuan penting menentang Sepanyol dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: England berdepan Sepanyol di Wembley awal pagi esok dalam pertembungan Liga Negara-Negara UEFA yang bukan sekadar ujian kekuatan, malah peluang buat skuad Thomas Tuchel membuktikan mereka sudah bangkit daripada kekecewaan Piala Dunia dua bulan lalu.

Kekalahan 1-2 kepada Argentina pada separuh akhir Piala Dunia selepas melepaskan dua gol dalam lima minit terakhir masih meninggalkan kesan buat The Three Lions, namun kehadiran juara dunia Sepanyol menyediakan pentas terbaik untuk England menguji sejauh mana mereka mampu mengubah kekecewaan itu menjadi dorongan.

Tuchel mengakui luka daripada Piala Dunia masih ada tetapi menegaskan, England perlu menggunakan pertemuan dengan pasukan terbaik dunia itu sebagai langkah penting menuju sasaran lebih besar pada Kejohanan Eropah di laman sendiri dua tahun lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami merasakan jurang itu semakin mengecil dan kami semakin hampir, jadi kami mahu membuktikannya. Stadium sudah penuh, ia pasti sangat mengujakan dan motivasi tidak mungkin lebih tinggi untuk menentang juara dunia.

“Tiada gunanya kami terus menyeksa diri dengan mengimbas kembali apa yang berlaku,” kata Tuchel.

Dalam masa sama, kapten Harry Kane mempunyai misi peribadi apabila hanya memerlukan empat penampilan untuk menyamai rekod Peter Shilton sebagai pemain paling banyak beraksi bersama England dengan 125 kaps, selain peluang menguji dirinya menentang pasukan yang perlu mereka tewaskan jika mahu mengejar kejuaraan besar.

“Ketika membesar, impian saya hanyalah untuk bermain untuk England dan menjadi pemain dengan penampilan terbanyak langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran ketika itu.

“Jadi, hanya tinggal empat penampilan untuk menyamai rekod sepanjang zaman itu sesuatu yang luar biasa dan saya harap dapat bermain dalam empat perlawanan ini, kemudian kembali pada November untuk memecahkannya,” kata Kane. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×