ANIQ Suhair pelakon semakin meningkat naik yang dikenali menerusi naskhah-naskhah romantik, komedi dan seram.
Namun disebabkan wajah keanak-anakkan atau orang sekarang panggil ‘jambu’, pelakon ini terlepas banyak peluang untuk melakonkan filem aksi.
Hal demikian terbukti apabila beliau menghadiri beberapa uji bakat, namun tidak melepasi peringkat akhir bagi pencarian pelakon sebuah filem aksi popular yang sudah pun ditayangkan di platform Netflix.
Alasan diberikan adalah wajahnya yang terlalu ‘jambu’.
Apa strategi Aniq untuk mengubah persepsi ‘wajah jambu’? Mampukah dia meyakinkan produser lain yang beliau mampu membawa watak aksi meskipun berwajah kebudak-budakkan? Ini penjelasan Aniq Suhair.
Adakah wajah ‘jambu’ ini menghalang Aniq untuk melakonkan watak yang lasak?
Benar, kerana penampilan dan wajah saya yang agak jambu selain gaya hidup yang saya tunjukkan di media sosial. Sebab itu, rasanya produser teragak-agak ambil saya berlakon filem aksi.
Tetapi bukankah Aniq berpengalaman dalam seni bela diri yang mungkin menjadi tiket untuk diambil berlakon dalam filem aksi?
Memang saya terlibat dalam sukan, gaya hidup yang lebih aktif dengan penglibatan dalam sukan seni bela diri. Malah sejak usia remaja saya sudah aktif dalam sukan Taekwondo serta mewakili Malaysia ke Korea Selatan dan Indonesia.
Tetapi semua itu tidak saya tonjolkan di media sosial. Mungkin sebab itu penerbit beranggapan saya tidak sesuai dengan watak lasak.

Tidak cuba untuk mengubah penampilan agak kelihatan lebih matang atau garang?
Bagi saya tidak perlulah untuk mengubah apa yang diberikan Tuhan, menanam jambang atau misai hanya disebabkan mahu kelihatan lebih matang atau menyerlahkan lagi penampilan kelelakian saya. Mengubah ciptaan Tuhan itu dilarang dalam agama.
Bagaimana jika ada yang berpandangan Aniq hanya sesuai melakonkan filem romantik atau seram, jadi lupakanlah cita-cita untuk ke arah filem aksi?
Mungkin ada. Kalau ada berpendapat sedemikian, tidak mengapalah. Itu pandangan mereka. Mungkin ramai lagi yang percaya saya mampu melakonkan filem aksi. Lambat laun saya akan buktikan juga perkara ini.
Kecewakah kerana ditidakkan peluang hanya kerana wajah dan penampilan?
Saya okey sahaja. Cuma filem aksi ini menjadi satu-satunya genre yang belum saya terokai. Jadi, kalau diberi peluang, saya akan buat. Tapi tak adalah sampai tahap kecewa.
Saya tidak pernah berhenti berharap. Jika ada uji bakat filem aksi, saya akan pergi Insya-Allah.
Sekarang selepas membina otot, adakah penerbit mula membuka peluang berlakon filem aksi kepada Aniq?
Alhamdulillah, sekarang saya sudah mula mendapat kepercayaan pengarah untuk berlakon dalam filem lasak, menjadi seorang anggota polis dalam filem Zero yang akan ditayangkan pada Oktober ini.
Dalam filem itu saya mengharapkan pandangan orang mengenai wajah saya yang jambu ini berubah apabila saya melakonkan naskhah aksi.
Apa matlamat Aniq dalam bidang ini?
Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang versatil yang melakonkan pelbagai jenis filem.
Saya berani untuk cuba pelbagai watak atau genre. Malah sanggup mempelajari bahasa asing jika diperlukan.











