PETALING JAYA: Kenaikan harga diesel tanpa subsidi kepada RM5.42 seliter dijangka terus menekan kos operasi firma yang tidak menikmati perlindungan subsidi, khususnya sektor pembinaan, logistik, pertanian dan perikanan komersial.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kesan langsung terhadap firma yang menggunakan diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter dan BUDI Diesel pada RM2.10 seliter adalah terhad kerana kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM3.32 seliter atau 61 peratus.
“Namun bagi firma tanpa subsidi seperti kenderaan asing, industri berat yang melebihi kuota, jentera pembinaan, bot pelancong dan logistik pihak ketiga (3PL) yang menggunakan diesel curah, kesannya adalah secara langsung.
“Sebagai contoh, lori 10 tan yang menggunakan 40 liter bagi setiap 100 kilometer dan bergerak 3,000 kilometer sebulan memerlukan kira-kira 1,200 liter diesel.
“Kenaikan 75 sen seliter bermakna tambahan kos RM900 sebulan bagi sebuah lori atau RM18,000 bagi 20 lori,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dengan margin logistik yang tipis sekitar lima hingga lapan peratus, kenaikan kos itu sama ada akan mengurangkan margin firma atau dipindahkan kepada pelanggan melalui caj lebih tinggi.
Ujarnya, kesan terhadap inflasi bagaimanapun dijangka terkawal berikutan struktur dua harga diesel yang melindungi kira-kira 90 peratus kenderaan barangan dan pengangkutan awam melalui SKDS.
“Kesan pusingan kedua masih boleh berlaku melalui rantaian bekalan tidak formal, khususnya pembekal peringkat kedua, subkontraktor pembinaan dan peniaga yang menggunakan kenderaan diesel tanpa perlindungan subsidi.
“Selain itu, kenaikan kos logistik antarabangsa boleh meningkatkan kos import barangan modal dan makanan, manakala peningkatan harga bahan api juga boleh mempengaruhi jangkaan inflasi pengguna.
“Kesan itu bagaimanapun perlu berlarutan antara tiga hingga enam bulan sebelum memberi tekanan lebih meluas kepada inflasi umum, manakala kejutan sementara akibat gangguan penapisan global dijangka memberi kesan pusingan kedua yang lebih terhad,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata,risiko kesan pusingan kedua terhadap inflasi susulan kenaikan harga diesel wujud, namun kesannya tidak semestinya berlaku secara automatik atau pada magnitud yang sama.
“Kenaikan harga diesel boleh meningkatkan kos pengangkutan sebelum memberi tekanan kepada kos logistik, input dan pengedaran, yang akhirnya berpotensi diterjemahkan kepada kenaikan harga jualan.
“Kesan awal biasanya dirasai melalui komponen pengangkutan dan logistik. Selepas itu, jika kos tersebut dipindahkan kepada pengeluar, pemborong dan peruncit, ia boleh merebak kepada harga makanan, barangan pengguna dan perkhidmatan,” katanya.
Abu Sofian berkata, bagaimanapun, kesan pusingan kedua bergantung kepada tempoh kenaikan harga diesel, kekuatan permintaan pengguna serta keupayaan firma menyerap peningkatan kos.
“Jika harga diesel kembali stabil atau menurun, tekanan inflasi mungkin lebih terhad,” katanya.
Menurutnya, antara sektor yang paling terdedah kepada kenaikan harga diesel ialah pengangkutan barang dan logistik, pembinaan, pertanian dan perladangan, perikanan, pemborongan dan pengedaran serta peruncitan dan e-dagang.
Tambahnya, sektor berasaskan bahan mentah yang memerlukan pengangkutan secara intensif juga berdepan risiko peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel. – UTUSAN











