LUMUT: Seorang pemilik stesen minyak didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Seri Manjung di sini hari ini selepas mengaku bersalah kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura, Mei lalu.
Tertuduh, Ling Mei Yen, 51, selaku orang kena saman (OKS) juga berdepan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menjual petrol RON95 sebanyak 27.452 liter kepada seorang lelaki, Wong Ing Wan, bagi kegunaan sebuah kenderaan pendaftaran Singapura tanpa kebenaran bertulis Pengawal.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya di Main Road, Ayer Tawar, dalam daerah Manjung kira-kira pukul 8.25 malam, 13 Mei 2026.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam prosiding di mahkamah sama, Ing Wan, 46, turut didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah membeli petrol RON95 dalam kuantiti sama daripada premis berkenaan bagi kegunaan kenderaan asing tanpa kebenaran bertulis.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Peraturan 4(3) Peraturan-Peraturan yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhammad Hanif Abd Azis.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan itu melibatkan bahan kawalan bersubsidi di bawah program Budi Madani RON95 yang menggunakan wang cukai rakyat.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN











