GARUT: Kunjungan pelancong ke Taman Wisata Alam (TWA) Gunung Papandayan di Cisurupan di Jawa Barat, Indonesia disekat buat sementara susulan peningkatan aktiviti berbahaya gunung berapi.
Sekatan itu dibuat selepas laporan mengenai kemunculan api berwarna biru atau ‘blue fire’ yang dikesan di kawasan kawah Gunung Berapi Papandayan sejak semalam.
Fenomena berkenaan menjadi petunjuk berlakunya pelepasan gas dari dalam bumi yang berpotensi membahayakan nyawa.
Pegawai Konservasi BBKSDA Jawa Barat, Vitriana Yulalita berkata, kemasukan pengunjung kini dihadkan sehingga Pos 4 dan pelancong tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke laluan pendakian.
Vitriana berkata, berdasarkan maklumat Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), kemunculan ‘blue fire’ berkait dengan semburan gas gunung berapi yang mungkin beracun dan berada melebihi paras selamat.
Sebagai langkah susulan, BBKSDA Jawa Barat bersama PVMBG dan pengurusan TWA Gunung Papandayan kini menjalankan pemeriksaan secara langsung di kawasan berkenaan.-AGENSI











