Ambil cuti sebab anak sakit disindir, kerap hamil pula dipersoal

Ambil cuti sebab anak sakit disindir, kerap hamil pula dipersoal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita di tempat kerja sering berdepan dengan dilema yang tidak pernah benar-benar selesai. Apabila anak sakit dan mereka terpaksa mengambil cuti kecemasan, ada yang disindir kerana kerap mengambil cuti.

Apabila mempunyai anak lebih daripada seorang, ada pula yang dipersoalkan seolah-olah keputusan untuk berkeluarga itu satu kesalahan yang perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Anak sakit lagi?” “Asyik cuti.” “Baru masuk kerja, dah mengandung lagi.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Ayat-ayat yang mungkin dianggap gurauan atau teguran biasa itu sebenarnya boleh meninggalkan kesan yang besar. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak pernah tahu apa yang dilalui seseorang di sebalik ketidakhadirannya di pejabat.

Mungkin anaknya benar-benar memerlukan penjagaan, mungkin tiada pilihan lain, atau mungkin dia sendiri berdepan dengan keadaan yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa.

Dalam sesetengah keadaan, wanita bukan sahaja berdepan tekanan menguruskan anak, malah turut berdepan cabaran dalam menentukan perancangan keluarga. Ada wanita yang berkongsi pengalaman suami enggan membenarkan mereka menggunakan kaedah kontraseptif, menyebabkan mereka berisiko untuk hamil semula dalam jarak yang dekat.

Kehamilan yang berlaku dalam jarak rapat, terutama ketika masih mempunyai anak kecil yang memerlukan perhatian, boleh menambah lagi beban fizikal, emosi dan tanggungjawab harian yang dipikul wanita.

Persoalan tentang mengapa seorang wanita kerap bercuti atau mempunyai anak yang ramai tidak seharusnya dilihat secara mudah. Di sebalik setiap kehamilan dan setiap cuti kecemasan, mungkin terdapat keadaan keluarga, kesihatan dan keputusan yang tidak diketahui oleh orang lain.

Wanita tidak seharusnya dipaksa memilih antara menjadi pekerja yang berdedikasi dengan menjadi ibu yang bertanggungjawab.

Keputusan untuk mempunyai anak, mengambil cuti ketika anak sakit atau mengutamakan keluarga dalam keadaan tertentu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang dipandang rendah di tempat kerja.

Pegawai Psikologi Kanan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Rafidah Sadarudin berkata, keadaan itu bukan kerana isteri lebih bertanggungjawab atau suami tidak bertanggungjawab.

“Fenomena ini biasanya dipengaruhi oleh gabungan norma sosial, pembahagian peranan dalam keluarga dan cara masyarakat mentafsir peranan ibu bapa,” katanya kepada Seri.

Menurut beliau, anggapan ibu ialah penjaga utama masih kuat dalam masyarakat sehingga peranan tersebut sering dilihat sebagai tanggungjawab wanita semata-mata.

Bukan ibu seorang perlu menjaga

Rafidah berkata, anggapan ibu lebih sesuai menjaga anak turut terbawa-bawa ke tempat kerja apabila seorang pekerja meminta cuti kerana anak sakit.

“Kadangkala apabila seorang pekerja meminta cuti kerana anak sakit, pertanyaan seperti ‘isteri tak boleh jaga ke?’ atau andaian bahawa ibu lebih sesuai menjaga anak secara tidak langsung mengukuhkan penjagaan anak ialah urusan wanita,” jelasnya.

Katanya, menjaga anak memerlukan komitmen daripada kedua-dua ibu bapa, terutama apabila kedua-duanya bekerja.

“Menjaga anak memerlukan komitmen kedua-duanya, bukan hanya ibu atau bapa atau seorang sahaja yang perlu mengambil tanggungjawab ini.

“Bila tanggungjawab dibahagi sama, beban yang dirasai akan berkurangan dan proses rawatan akan menjadi lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata, pembahagian tanggungjawab tidak semestinya perlu dibuat secara sama rata setiap kali anak sakit.

“Lebih penting ialah kedua-dua pasangan merasakan tanggungjawab itu dikongsi, dirancang dan tidak diletakkan secara automatik pada seorang sahaja,” katanya.

Menurutnya, pasangan juga perlu melihat semula cara membuat keputusan apabila anak sakit, termasuk menentukan siapa yang paling sesuai untuk mengambil cuti pada waktu berkenaan.

“Jika selama ini setiap kali anak sakit, isteri terus mengambil cuti kecemasan, pasangan perlu berhenti seketika dan bertanya: ‘Siapa yang paling sesuai mengambil cuti kali ini?’.

“Bukan: ‘Ibu boleh ambil cuti lagi tak?’ Perubahan kecil pada bahasa ini mengubah penjagaan anak daripada tanggungjawab ibu kepada tanggungjawab bersama,” jelasnya.

Beban bukan sekadar mengambil cuti

Katanya, apabila ibu lebih banyak menguruskan anak, mereka akhirnya menjadi lebih arif tentang rutin dan keperluan anak.

“Bukan kerana ibu yang mahu mengambil semua tanggungjawab, tetapi sistem keluarga sudah terbentuk sedemikian rupa.

“Isteri bukan sahaja bekerja di tempat kerja, tetapi turut memikul beban fikiran di rumah seperti memikirkan kesihatan anak, sekolah, makanan, ubat-ubatan, temu janji dan keperluan harian,” ujarnya.

Katanya, beban berkenaan boleh menimbulkan rasa tidak dihargai apabila semua tanggungjawab tersebut dianggap sebagai tugas isteri.

Apabila keadaan itu berulang, ia juga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam hubungan suami isteri.

“Bermula dengan ‘Tak apa, saya buat’, kemudian menjadi ‘Saya buat sebab awak tak buat’ dan akhirnya ‘Saya dah penat buat semuanya’,” katanya.

Justeru, suami perlu mengambil inisiatif dalam menguruskan tanggungjawab keluarga dan bukan sekadar bertindak apabila diminta.

Jangan tunggu diminta

Rafidah berkata, pembahagian tanggungjawab dalam keluarga moden perlu dibincangkan berdasarkan masa dan kapasiti masing-masing, tuntutan pekerjaan, keperluan anak, keadaan kesihatan, kemampuan fizikal dan emosi serta persetujuan pasangan.

“Bukan ‘siapa punya tugas?’, tetapi ‘siapa yang boleh mengambil tanggungjawab ini pada masa ini?’”

Menurutnya, pasangan tidak seharusnya menunggu sehingga salah seorang terlalu penat sebelum berbincang.

“Anak sakit bukan masa untuk mencari siapa yang patut bertanggungjawab. Anak sakit ialah masa untuk ibu dan bapa tampil bersama.

“Jangan tunggu pasangan meminta pertolongan. Jadilah pasangan yang peka sebelum dia terpaksa meminta,” ujarnya.

Kesan kepada emosi wanita

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Sa’ad berkata, konflik antara tuntutan kerja dan tanggungjawab menjaga anak boleh menyebabkan wanita berdepan rasa bersalah, stres, kebimbangan serta keletihan emosi.

“Wanita boleh mengalami rasa bersalah, stres, kebimbangan dan keletihan emosi kerana merasakan perlu memenuhi kedua-dua tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Menurutnya, keadaan apabila anak sakit tetapi ibu terpaksa bekerja juga boleh menyebabkan rasa bersalah sebagai ibu, terutama jika perkara tersebut berlaku berulang kali.

Wanita turut boleh berdepan tekanan apabila dimarahi majikan kerana kerap mengambil cuti bagi menguruskan urusan keluarga.

“Tekanan ini boleh menyebabkan wanita takut, cemas, hilang keyakinan diri dan tertekan setiap kali perlu mengambil cuti untuk urusan keluarga,” jelasnya.

Dr. Fauziah berkata, keperluan untuk menjadi pekerja, ibu dan isteri yang baik pula banyak dipengaruhi oleh jangkaan sosial, keluarga serta tuntutan terhadap diri sendiri untuk menjadi sempurna dalam semua peranan.

Apabila tekanan dipendam

Ujar Fauziah, pembahagian tanggungjawab yang tidak seimbang boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental sehingga membawa kepada burnout.

“Tekanan yang dipendam boleh muncul sebagai mudah marah, menangis, gangguan tidur, hilang motivasi dan sukar memberi tumpuan,” katanya.

Katanya, antara tanda seseorang sudah terlalu terbeban ialah keletihan berpanjangan, mudah marah atau menangis, sukar tidur, hilang fokus, hilang minat, rasa tidak berdaya dan menarik diri.

Keadaan itu juga boleh memberi kesan kepada hubungan apabila pasangan tidak memahami tekanan yang dihadapi.

Justeru, wanita perlu berbincang dengan pasangan mengenai pembahagian tanggungjawab secara terbuka dan praktikal.

“Bercakap ketika keadaan tenang, nyatakan perasaan dan keperluan dengan jelas serta bincangkan pembahagian tugas yang lebih adil dan praktikal,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan wanita supaya tidak menanggung tekanan seorang diri, selain berkomunikasi secara profesional dengan majikan.

Apa pilihan kami ada?

Bagi Nurshima Razali, 32, seorang pekerja syarikat swasta berkongsi pengalaman dia berdepan dengan majikan dan rakan sekerja yang sering memerlinya akibat kerap mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anak sakit.

“Ibu mana yang mahu anak dia asyik sakit dan pekerja wanita asyik kena ambil cuti untuk jaga anak? Kami kalau boleh tidak mahu semua itu berlaku, namun apa pilihan kami ada?,” soalnya.

Nurshima berkata, ayat seperti ‘hari itu sudah cuti, kali ni cuti lagi, kerap sangat anak kau sakit ya’ sudah sebati dengan dirinya, namun itu bukan bermakna dia tidak cakna, malah dia sentiasa berusaha menjaga pemakanan, kesihatan anaknya supaya tidak mudah jatuh sakit.

“Saya beri anak makanan sihat, vitamin untuk kuatkan antibodi, namun, jika mahu sakit juga, apa saya boleh buat? Dan keadaan itu tidak ada orang yang mahu faham,” katanya.

Nurul Ain Ismail, 30, pula berkongsi kisah rakannya yang berdepan ego suami apabila dia tidak dibenarkan ambil perancang dengan alasan sudah berkahwin, kenapa mahu pakai perlindungan, menyebabkan rakannya itu mengandung dalam jarak dekat dalam tempoh tiga tahun.

“Beranak setahun sekali bukan perkara mudah, perlu lihat emosi dan keadaan fizikal isteri, suami mungkin beranggapan ‘beranak sahajalah’, namun mereka tidak tahu jika isteri trauma, penat.

“Memang boleh bersalin, namun tanggungjawab selepas itu pun perlu sama-sama, jangan serahkan semua dekat isteri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×