PERIBAHASA “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” amat ringkas tetapi maknanya dalam. Ia mengingatkan kita sesuatu yang terhasil biasanya mempunyai bentuk, rasa dan ciri dipengaruhi acuan yang membentuknya.
Dalam kehidupan manusia, anak-anak ialah antara ‘kuih’ yang paling lama kita lihat hasilnya. Acuannya pula bukan sekadar sekolah, guru, buku atau persekitaran.
Acuan pertama dan paling dekat yang dimaksudkan dalam peribahasa Melayu ini ialah rumah. Tentulah di rumah, ibu bapa menjadi contoh paling awal.
Dalam peribahasa Tamil pula, ada ungkapan yang membawa makna hampir sama iaitu “bagaimana benang, begitulah sari yang terhasil; bagaimana ibu bapa, begitulah anak-anak mereka”.
Sari yang cantik tidak terhasil daripada sehelai benang yang diabaikan. Begitu juga peribadi seorang anak tidak terbentuk secara tiba-tiba ketika dia sudah dewasa. Ada proses panjang dan ada teladan yang dilihat setiap hari. Ada kata-kata yang didengar berulang kali dan ada perbuatan disimpan dalam ingatan tanpa disedari.
Sebab itu juga masyarakat Melayu mempunyai satu lagi peribahasa yang cukup terkenal iaitu “Bapa borek, anak rintik.” Dalam ungkapan yang lebih keras, kita mengenali pula “Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”.
Peribahasa ini bukan sekadar bahan untuk menghiburkan hati atau menghiasi karangan sekolah. Ia sebenarnya peringatan lama yang sangat serius tentang pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak.
Dulu, anak-anak selalu membesar dengan datuk dan nenek tetapi kini dijaga sepenuhnya oleh ibu bapa.
Tentulah peribahasa yang senada wujud dalam pelbagai masyarakat dan budaya di Malaysia. Hal ini menunjukkan pengalaman manusia menemukan satu hakikat yang sama iaitu anak-anak belajar bukan sahaja melalui apa yang diberitahu kepada mereka, malah lebih banyak belajar daripada apa yang mereka lihat orang dewasa di sekeliling lakukan.
Anak melihat bagaimana ibu bercakap dengan ayah dan bagaimana ayah bercakap tentang jiran. Anak memerhatikan bagaimana ibu bapa melayan pekerja kedai, pemandu, pengawal keselamatan atau orang yang dianggap lebih rendah kedudukannya.
Kita mungkin terlepas pandang tetapi anak-anak sebenarnya belajar daripada cara ibu bapa meminta maaf atau cara mereka mengakui kesilapan.
Anak juga belajar daripada cara ibu bapa mengendalikan kemarahan dan emosi lain.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk menyuruh anak menjadi baik sehingga terlupa anak sedang melihat dan belajar daripada kita.
Kita mungkin menyuruh mereka bercakap sopan tetapi suara kita meninggi ketika marah. Kita meminta anak-anak menghormati orang tua tetapi mungkin kita memperlekehkan orang lain.
Kita mahu anak-anak tidak membuli tetapi kita pula menghina seseorang kerana rupa, pekerjaan, bahasa, status atau latar belakang.
Memanglah kita sebagai manusia biasa boleh tersilap, marah, kecewa dan hilang sabar. Namun, apa yang penting ialah kesediaan untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa kesilapan boleh diakui dan diperbaiki.
Misalnya, apabila seorang ibu berkata, “Maaf, tadi ibu bercakap terlalu kasar.” Ketika itu anak belajar meminta maaf bukan tanda kelemahan.
Apabila seorang bapa berkata, “Ayah silap. Ayah patut fikir dahulu sebelum bercakap,” pastinya anak belajar bahawa mengakui kesalahan ialah satu keberanian.
Di sinilah pentingnya peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Rebung atau pucuk buluh masih lembut. Batang buluh yang sudah tua pula sukar dilentur tanpa patah.
Peribahasa tradisional ini bukan bermaksud anak yang sudah besar tidak boleh berubah. Manusia sentiasa ada ruang untuk belajar dan memperbaiki diri. Namun, nilai asas seperti sopan santun, empati, disiplin, tanggungjawab, kejujuran dan rasa hormat lebih mudah disemai apabila anak masih kecil.
Dalam komuniti India ada ungkapan iaitu amalan yang dibentuk sejak di buaian akan terbawa-bawa hingga ke kubur. Ada juga peribahasa Tamil mengingatkan, apa yang tidak bengkok pada umur enam tahun, tidak akan mudah dibengkokkan pada umur 60 tahun.
Maksudnya amat jelas iaitu kebiasaan yang dibentuk sejak kecil boleh menjadi sebahagian daripada watak seseorang apabila dewasa.
Sebab itulah pendidikan tentang adab tidak seharusnya bermula apabila anak melakukan kesalahan besar, sebaliknya dididik sejak awal.
TEKNOLOGI BUKAN MUSUH
Dalam dunia hari ini, cabaran terhadap pembentukan anak semakin kompleks. Rumah bukan lagi satu-satunya tempat anak belajar, sebaliknya telefon pintar, media sosial, permainan dalam talian, video pendek dan pelbagai kandungan digital turut menjadi ‘guru’ yang masuk ke dalam rumah tanpa mengetuk pintu.
Namun, kita tidak perlu melihat teknologi sebagai musuh. Apa yang lebih penting ialah ibu bapa sedar hakikat anak-anak memerlukan bimbingan ketika berhadapan dengan dunia tersebut.
Mereka perlu diajar membezakan antara kebebasan dan kebiadaban, antara keberanian bersuara dan penghinaan, malah antara hiburan dan kandungan yang boleh merosakkan nilai diri.
Mungkin inilah sebabnya orang dahulu menyimpan nasihat dalam bentuk peribahasa. Malah, setiap ibu dan bapa sebenarnya sedang meninggalkan sesuatu kepada anak-anak. Yang pasti, mereka bukan hanya ditinggalkan rumah, harta, pendidikan atau nama keluarga.
Jika kita mahu anak-anak menghormati orang lain, tunjukkan rasa hormat.
Andai kita mahu mereka bersikap jujur, tunjukkan kejujuran. Sekiranya kita mahu anak-anak beradab, biarlah mereka melihat adab itu hidup di rumah.
“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Peribahasa lama itu tentulah bukan sekadar tentang kuih. Ia sebenarnya tentang kita dan tentang apa yang ditunjukkan kepada anak-anak sebelum mereka cukup dewasa untuk memahami realiti hidup.
Mungkin suatu hari nanti, apabila anak-anak kita menjadi ibu dan bapa, mereka pula akan menjadi ‘acuan’ kepada generasi selepas mereka.
Sesungguhnya, apa yang kita bentuk hari ini, itulah wajah anak-anak Malaysia pada masa depan. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)











