PETALING JAYA: Beregu campuran negara, C. Ameeshanraj-Rachel Arnold memastikan pingat gangsa berada dalam genggaman selepas mengesahkan slot separuh akhir menjadi milik mereka pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.
Selaku pilihan kedua, Ameeshanraj-Rachel mempamerkan aksi menyakinkan apabila membenam wakil Korea Selatan, Oh Seo Jin-Heo Ming Yeong 11-8, 11-9 dalam masa 25 minit pada suku akhir di Nagoya Kinju-Futo Arena.
Pada separuh akhir, esok, Ameeshanraj-Rachel bakal berdepan pilihan ketiga/empat, Metthew Lai-Lam Tse Yee dari Hong Kong.
Ameeshanraj berkata, memang menjadi hasratnya untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia, cuma dia enggan terlalu terbawa-bawa di atas kejayaan mereka mara ke separuh akhir.
“Kami masih ada perlawanan lagi, esok. Lawan kami (Metthew-Tse Yee) merupakan beregu yang bagus. Kami pernah bertemu mereka sebelum ini dan saya yakin, kami mampu memanfaatkan peluang pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami pilihan pertama, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman yang tewas mengejut kepada pilihan kelima/lapan, Tang Ming Hong-Lee Ka Yi juga dari Hong Kong 7-11, 5-11 dalam masa 24 minit. – UTUSAN











