Pas yakin PH tumbang PRU16

Pas yakin PH tumbang PRU16

PH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas yakin Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan perkembangan politik semasa termasuk keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang disifatkan memberi bayangan terhadap perubahan sokongan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, gelombang kejatuhan PH itu dijangka semakin kuat sekiranya perkembangan di Melaka berlaku seperti yang dirancang, malah Pulau Pinang juga berkemungkinan menyaksikan kejatuhan PH.

“Kalau di Melaka ini berjalan sepertimana kita rancang, maka gelombang tersebut semakin kuat. Malah di Pulau Pinang juga berkemungkinan bakal menyaksikan kejatuhan PH.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita kena baca secara meluas dan antara faktor perlu dilihat adalah kenapa DAP tidak keluar daripada Kerajaan Perpaduan (susulan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu, di sini hari ini.

Mohd. Amar berkata, keputusan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan memberi bayangan ketakutan parti itu terhadap suasana politik semasa yang memungkinkan mereka mengalami kekalahan besar jika tidak bersama PH.

“Kalau DAP keluar (PH), dia akan berbalah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah). Jadi undi-undi Melayu yang ada sedikit-sebanyak tidak berpusing kepada mereka.

“Kesan paling besar yang kita peroleh daripada satu kajian baru-baru ini, jika situasi tersebut berlaku, DAP mungkin hilang Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Amar berkata, kesan krisis adat Negeri Sembilan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pas yang membentuk kerajaan negeri bergantung kepada bagaimana isu tersebut diuruskan.

Katanya, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan kepada rakyat bagi memperbetul naratif yang menuduh BN dan Pas menjatuhkan Yang Dipertuan Besar.

“Paling utama adalah bagaimana kerajaan negeri memberi penjelasan kepada rakyat. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu memperbetul naratif yang menuduh BN dan Pas menjatuhkan Yang Dipertuan Besar.

“Kerajaan negeri perlu membuktikan naratif itu bertujuan memburukkan imej mereka dan memastikan rakyat faham bahawa, sebenarnya ia adalah keputusan Undang yang empat, sementara Menteri Besar dan Exco hanya melaksanakan perintah,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×