Remaja Indonesia didakwa edar, miliki dadah serta tinggal lebih masa - Utusan Malaysia

Remaja Indonesia didakwa edar, miliki dadah serta tinggal lebih masa

SEORANG remaja lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Kluang hari ini kerana mengedar dan memiliki dadah serta tinggal lebih masa di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang remaja lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dan memilki dadah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Nanda Afrizal, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu dihadapan Majistret, Nurasidah A. Rahman.

Berdasarkan tiga pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mengedar dadah dipercayai jenis heroin dengan berat kasar 17,842 gram serta methamphetamine berat kasar 8,109 gram di Jalan Delima Taman Lian Seng, pada pukul 3 petang, 13 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang dua belas kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine anggaran berat kasar 5.25 gram pada masa dan lokasi sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan keempat, dia sebagai bukan warganegara Malaysia didakwa telah tinggal di negara ini setelah tamat tempoh lawatan sosial pada 8 Oktober 2025. Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November untuk pertuduhan semula serta penyerahan dokumen dan laporan forensik bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, manakala penjara lapan bulan bagi pertuduhan keempat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×