PUTRAJAYA: Kerajaan disyor menubuhkan Suruhanjaya Pendanaan Awam bagi mengawal selia dan menguatkuasakan tatakelola kutipan derma serta dana awam di negara ini, susulan kebimbangan terhadap aspek ketelusan dan risiko penyelewengan.
Langkah mewujudkan badan pengawal selia tunggal itu dilihat wajar bagi menyatukan fungsi pengawasan aktiviti pendanaan awam yang ketika ini melibatkan beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Ketua Penyelidik Kajian, Prof. Madya Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, kewujudan badan itu penting berikutan kelemahan tatakelola dan penguatkuasaan sedia ada yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu integriti.
“Terdapat keperluan untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Pendanaan Awam yang menjalankan fungsi pengawasaseliaan aktiviti pendanaan awam di Malaysia secara fokus.
“Langkah ini penting bagi memperkasakan tatakelola, mewujudkan garis panduan khusus pengurusan kewangan, serta mewajibkan pendedahan laporan kewangan dan audit secara terbuka,” katanya pada sesi pembentangan pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-5 bagi tahun 2026, di sini hari ini.
Katanya, beliau turut mencadangkan kerajaan menggubal Akta Pendanaan Awam atau Akta Khairat secara khusus bagi memperkemas kerangka perundangan berkaitan kutipan dana awam di negara ini.
Muhammad Iqmal Hisham berkata, penggubalan undang-undang khusus itu penting bagi memastikan setiap entiti yang mengutip dana awam berdaftar secara sah serta diwajibkan mengemukakan laporan kewangan yang diaudit secara telus.
Katanya, langkah berkenaan juga berupaya membendung kegiatan kutipan dana tanpa kebenaran oleh individu atau organisasi tidak berdaftar yang mengeksploitasi simpati masyarakat untuk kepentingan peribadi.
Pada masa sama, katanya, syor itu dibuat berdasarkan hasil kajian komprehensif membabitkan 1,000 responden di seluruh negara yang mendapati tahap pemantauan kewangan dan penguatkuasaan semasa masih lemah.
Menurut beliau, dapatan kajian turut menunjukkan kerangka kawal selia sedia ada membuka ruang kepada risiko rasuah, campur tangan politik serta potensi berlakunya aktiviti pengubahan wang haram.
Bagi menangani kekangan bajet dan kepakaran audit dalam kalangan NGO kecil, beliau mencadangkan supaya suruhanjaya berkenaan menyediakan kemudahan perkhidmatan audit luar secara khusus, seperti yang dilaksanakan melalui model Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Inisiatif itu bukan sahaja dapat membantu organisasi kebajikan mematuhi piawaian perakaunan, malah memudahkan mereka menguruskan pendaftaran pelepasan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Suruhanjaya berkenaan juga wajar diberikan kuasa penyiasatan termasuk memantau iklan promosi berkaitan kutipan dana serta menjalankan tapisan keselamatan terhadap pelantikan pemegang amanah.
“Pemerkasaan tatakelola dan integriti syarikat amanah serta aktiviti pendanaan awam diyakini dapat memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan kemampanan ekosistem kebajikan negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN











