Rumah yang bersaiz kecil bukan penghalang untuk mencipta kediaman yang selesa, tenang dan mempunyai sentuhan mewah.
Ruang yang luas atau perabot mahal bukan menjadi ukuran sebuah kediaman itu kelihatan menarik, sebaliknya kebijaksanaan pemilik menyusun setiap sudut mengikut keperluan dan gaya hidup.
Itu pendekatan Nurul Amira Dasuan, 36, yang memilih konsep moden minimalis untuk kediamannya seluas 1,300 kaki persegi.
Menurutnya, rumah tidak perlu dipenuhi hiasan untuk kelihatan menarik kerana susunan yang sederhana mampu mewujudkan suasana lebih lapang dan menenangkan.
Dari rumah moden ke suasana hotel
Idea dekorasi kediamannya tercetus daripada keinginan menggabungkan gaya rumah moden dengan suasana hotel.
“Saya terinspirasi daripada gabungan rumah moden dengan suasana hotel atau resort yang selesa supaya ruang nampak sofistikated tetapi masih terasa seperti rumah,” katanya kepada Seri.
Warna putih, kuning air dan kelabu menjadi asas kepada kebanyakan ruang, menghasilkan suasana lembut yang tidak terlalu berat pada pandangan.

Warna hijau menerusi penggunaan tumbuhan dan dedaun pula memberikan sentuhan semula jadi, manakala elemen warna hitam pada lampu dan kipas memberikan sedikit kontra.
Sentuhan warna emas pula digunakan secara sederhana untuk menambah sedikit rasa mewah tanpa mengganggu konsep minimalis yang diterapkan.
Cantik, tetapi perlu tahan lasak
Di sebalik penampilan yang kemas, setiap pilihan dekorasi sebenarnya mengambil kira kehidupan harian Amira bersama dua anak lelakinya yang sedang melalui fasa aktif.
Justeru, aspek praktikal menjadi antara pertimbangan utama sebelum sesuatu barangan dipilih untuk menghiasi kediaman.
Amira memilih bahan yang mudah dicuci terutama bagi cat dinding dan sofa supaya kerja membersihkan rumah dapat dilakukan dengan lebih mudah.
Pendekatan sama turut diterapkan pada pemilihan tekstur apabila dia mengelakkan penggunaan corak terlalu sarat pada permaidani, sofa dan langsir.
Menurutnya, tekstur yang lebih ringkas membantu ruang kelihatan luas, tenang dan tidak mudah terikat dengan perubahan trend.

Sentuhan kecil, suasana berbeza
Bagi mengelakkan kediaman kelihatan terlalu kosong, beberapa aksesori dipilih sebagai penyeri tanpa memenuhi ruang secara berlebihan.
Pokok bersaiz besar, bunga putih, cermin serta lampu meja dan lampu lantai menjadi antara elemen yang digunakan untuk memberikan suasana lebih tenang.
Perabot berbentuk bulat terutama sofa dan kerusi berlengan pula menjadi pilihan kerana reka bentuknya memberikan sedikit unsur seni kepada ruang.
Gabungan pelbagai jenis lampu seperti lampu siling, lampu gantung, lampu lantai, lampu meja dan pencahayaan tidak langsung menghasilkan beberapa lapisan cahaya, manakala cahaya berona suam memberikan suasana lebih selesa dan santai.
Dinding televisyen jadi titik tumpu
Daripada keseluruhan ruang, dinding televisyen menjadi antara sudut yang paling diberi perhatian Amira.
Panel kayu yang dihasilkan sendiri menerusi projek DIY menjadi titik tumpu ruang berkenaan, sekali gus memberikan identiti tersendiri kepada kediaman.

Ruang makan pula menampilkan dinding putih dengan panel kayu reka bentuk ringkas yang dipadankan dengan bunga kamelia.
Gabungan itu cukup untuk menyerlahkan ruang makan tanpa memerlukan terlalu banyak aksesori.











