KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan terima kos ubah suai rumah bernilai lebih RM8,000, sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun, Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai COO TH didakwa menerima sesuatu yang berharga sebagai balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, di sini, bernilai bernilai RM8,882.77.
Kos itu diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail di rumah berkenaan pada 7 Mac 2017.
Semalam, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan serupa iaitu menerima barangan berharga sebagai balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian tiga buah rumah dekat Seksyen 13, Shah Alam; Kota Damansara, Petaling Jaya dan USJ Height, Subang Jaya berjumlah RM302,499.27.
Kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh semalam dan hari ini dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selepas pengakuan direkodkan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras memohon supaya pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Katanya, permohonan itu dibuat supaya pertuduhan berkenaan dibicarakan bersama tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama memandangkan ia melibatkan saksi serta kertas siasatan yang serupa.
“Untuk makluman Yang Arif, Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
“Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri setiap tiga bulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,” katanya.
Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi Azuan mengesahkan perkara itu selain tidak membantah permohonan pendakwaan berkaitan pemindahan itu.
Mahkamah kemudian membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain.
Mahkamah turut mengguna pakai jaminan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 25 November ini. – UTUSAN











