Puluhan utusan PBB keluar ketika Netanyahu berucap

Puluhan utusan PBB keluar ketika Netanyahu berucap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Puluhan utusan dari seluruh dunia keluar dari dewan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantah kekejaman dan genosid dilakukan rejimnya.

Para perwakilan mengejek dan mencemuh, manakala anggota delegasi Netanyahu sendiri berdiri dan bertepuk tangan sebelum pengerusi sesi berkenaan menjerit meminta mereka bertenang.

Delegasi Palestin dalam memo yang dilihat AFP menggesa misi-misi lain untuk menyertai tindakan bantahan mereka.

Pemimpin Israel yang berdepan tekanan itu kemudian menyampaikan ucapan penuh kecaman terhadap musuh dan sekutunya.

Ketika terlibat dalam persaingan sengit untuk mengekalkan kuasa pada pilihan raya 27 Oktober, Netanyahu menggunakan pentas antarabangsa itu untuk menyerang pelbagai pihak, daripada pemimpin Iran hinggalah Datuk Bandar Muslim pertama New York, Zohran Mamdani serta rakan kongsi Israel, Britain, Perancis dan Turkiye.

Netanyahu mengecam Zohran dengan menyifatkannya sebagai antisemitik dan mendakwa sejak beliau dipilih sebagai datuk bandar New York, ramai orang Yahudi tidak lagi berasa selamat.

Zohran sebelum ini mengancam untuk melaksanakan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu, sebelum mengakui beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Ketegangan turut meningkat apabila puluhan penunjuk perasaan, sebahagiannya membawa sepanduk bertulis ‘hentikan pembunuhan beramai-ramai’, berkumpul berhampiran PBB. Beberapa penunjuk perasaan ditahan, termasuk pelakon terkenal Hollywood, Susan Sarandon.

Britain dan Perancis, yang merupakan rakan kongsi lama Israel tetapi semakin lantang mengkritik negara itu, turut menjadi sasaran kecaman Netanyahu.

Britain dan Perancis kedua-duanya mengenakan sekatan terhad terhadap eksport Israel dari Tebing Barat yang diduduki.

Dalam ucapannya, Netanyahu turut memegang sebuah alat kelui yang merujuk kepada serangan terhadap Hizbullah di Lubnan pada September 2024.

Beliau turut menuduh Turkiye menyokong Hamas sebelum menyifatkan pemimpin negara itu, Recep Tayyip Erdogan, sebagai seorang pemerintah zalim.

Netanyahu hanya melakukan kunjungan singkat ke New York sebelum bergegas pulang ke Israel ketika kempen pilihan raya sedang rancak. Beliau tidak dijadualkan mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin utama Amerika Syarikat (AS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×