PETALING JAYA: Datuk Seri Rosmadi Ismail sedia mempertimbangkan pencalonan bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sekiranya mendapat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) pada pemilihan baharu.
Rosmadi yang baru dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, beliau bukan calon pilihan sebaliknya hanya akan membuat keputusan sekiranya ada PBJ yang mencalonkannya untuk mengemudi semula KAFA.
“Saya akan melihat sejauh mana pandangan dan kehendak daripada PBJ. Kalau ada PBJ yang mencalonkan, mungkin saya akan beri pertimbangan demi untuk menghidupkan kembali KAFA,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Katanya, pembangunan bola sepak akar umbi akan menjadi keutamaan sekiranya diberikan kepercayaan bagi memastikan Kelantan terus melahirkan bakat tempatan berkualiti.
“Saya lebih tengok kepada pembangunan akar umbi. Kita tahu bola sepak mesti datang daripada akar umbi dan bakat-bakat baharu kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada pemain import semata-mata tanpa sokongan pemain tempatan.
“Saya yakin kalau pihak KAFA selepas ini menumpukan kepada kerja-kerja pembangunan bakat, kita akan dapat mencungkil lebih banyak bakat yang baik daripada Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosmadi berkata pemilihan baharu KAFA dijangka berlangsung tahun ini, selewat-lewatnya Disember berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada sekretariat FAM.
Beliau berkata, tidak semua PBJ kini aktif kerana terdapat badan yang gagal mengadakan Mesyuarat Agung, malah sebahagiannya dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan Sukan (PJS).
“Bagaimanapun, mengikut semakan saya dengan sekretariat FAM, pihak FAM dan PJS sekarang sudah bersedia dengan rekod-rekod serta persiapan untuk melakukan pemilihan baharu,” katanya.
Rosmadi mengakui kedudukannya sebagai Naib Presiden FAM memberi sedikit kelebihan dari segi akses dan hubungan di peringkat nasional sekiranya dipilih, manakala Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman sebelum ini berkata peluang merebut jawatan presiden masih terbuka luas. – UTUSAN











