PETALING JAYA: Penyelesaian bayaran agihan pendapatan berasaskan merit kepada kelab Liga Malaysia (Liga M) musim lalu menjadi perkembangan positif, ketika pasukan kini memberikan tumpuan kepada saingan musim baharu 2026/2027.
Bagi kelab seperti Negeri Sembilan FC (NSFC), Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC, penerimaan bayaran berkenaan bukan sekadar angka dalam akaun, sebaliknya memberi sedikit ruang untuk mereka menyusun semula aliran kewangan serta memenuhi komitmen yang sudah dirancang.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata pihaknya menyambut baik bayaran yang diterima pada awal bulan ini sambil menghargai usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelesaikan komitmen tersebut kepada kelab.
Menurutnya, kepastian daripada sudut kewangan amat penting bagi memastikan kelab dapat menguruskan operasi harian dengan lebih teratur, terutama ketika persiapan menghadapi musim baharu sedang giat dilakukan.
“Bagi pihak kelab, pembayaran ini sememangnya penting dalam membantu pengurusan aliran tunai serta memenuhi komitmen operasi yang sudah dirancang.
“Kami berharap segala urusan MFL dalam menguruskan keperluan kelab pada musim baharu ini berjalan lancar kerana kepastian dari segi kewangan amat penting dalam membantu kelab merancang dan mengurus operasi secara mampan.
“Kita juga memahami sedikit kelewatan agihan ini yang membabitkan pelbagai faktor dan perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak MFL. Namun, apa yang kita hargai adalah komunikasi yang baik daripada MFL yang sentiasa memberikan perkembangan dan penjelasan kepada pihak kelab dari semasa ke semasa,” kata Faliq.
Pandangan hampir sama disuarakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Syahrizan Mohd Zain yang melihat agihan terbabit sebagai bantuan bermakna dalam memastikan keperluan semasa kelab dapat diurus tanpa mengganggu perancangan yang sudah ditetapkan.
“Sudah tentunya, pembayaran ini amat membantu TFC khususnya dalam menguruskan komitmen dan perbelanjaan operasi kelab. Setiap sumber pendapatan yang diterima amat penting bagi memastikan perjalanan kelab dapat diuruskan dengan lebih baik dan lancar,” kata Mohd Syahrizan. – UTUSAN










