NEW YORK: Russia memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai kesan serangan Ukraine terhadap infrastruktur tenaga dan rentas sempadan yang didakwa boleh mencetuskan ketidakstabilan pasaran global.
Perkara itu menjadi antara isu yang dibangkitkan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov dalam pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York kelmarin.
Pertemuan itu turut menyaksikan perbincangan mengenai konflik Ukraine, hubungan dua hala Russia-AS dan pelbagai isu antarabangsa.
Bagaimanapun, Jabatan Negara AS dalam kenyataan ringkas hanya memaklumkan bahawa Lavrov dan Rubio membincangkan konflik Russia-Ukraine serta hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut Moscow, Lavrov turut menarik perhatian Rubio terhadap apa yang didakwa sebagai penyelarasan rapat antara Kyiv dan penyokong Eropahnya.
Ia turut membangkitkan serangan Ukraine terhadap orang awam dan ‘kemudahan infrastruktur rentas sempadan’ yang menurut Russia sengaja menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran tenaga global.
Isu berkenaan semakin mendapat perhatian di Washington susulan kenaikan harga diesel yang mencecah paras rekod, dengan harga purata nasional melebihi AS$6.50 (RM27.37) segelen atau 3.78 liter pada September 2026.
Presiden Donald Trump baru-baru ini menggesa rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia, dengan menyifatkan serangan itu sebagai antara punca kekurangan bekalan global dan menjejaskan dunia.
Sementara itu, selepas bertemu Lavrov, Rubio berkata, Russia dan Ukraine menunjukkan minat terhadap gencatan senjata terhad yang melibatkan sasaran tenaga.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah itu tidak menyelesaikan perang dan sukar dicapai kerana kedua-dua pihak menganggap infrastruktur tenaga sebagai sasaran strategik. – AGENSI











