Kenaikan gaji minimum perlu seiring peningkatan produktiviti - Utusan Malaysia

Kenaikan gaji minimum perlu seiring peningkatan produktiviti

PELABURAN besar dalam pendidikan dan latihan diterjemahkan kepada gaji graduan lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menaikkan kadar gaji minimum kebangsaan daripada RM1,700 kepada RM1,900 atau RM2,000 memerlukan penyesuaian besar dalam operasi perniagaan susulan jurang antara pertumbuhan upah dan produktiviti tenaga kerja yang semakin melebar.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, cadangan kenaikan sebanyak 11.8 peratus hingga 17.6 peratus itu nyata mengatasi kadar pertumbuhan produktiviti buruh negara pada suku pertama 2026 yang berada sekitar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.

Menurut beliau, jurang produktiviti sebanyak 7.0 hingga 13.3 mata peratusan berkenaan mencerminkan beban penyesuaian yang perlu diserap oleh pihak perniagaan menerusi peningkatan produktiviti, margin keuntungan lebih rendah, penyesuaian harga, automasi serta kecekapan kos.

“Isu utamanya bukanlah sama ada pekerja di Malaysia wajar menerima gaji lebih tinggi atau tidak. Persoalan ekonomi paling mendasar adalah sama ada perniagaan di Malaysia mampu menjana nilai tambah per pekerja yang mencukupi bagi memastikan kenaikan gaji ini mampan.

“Peningkatan gaji berupaya meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja berpendapatan rendah dan menyokong penggunaan swasta, namun sebahagian manfaat ini boleh terhakis sekiranya perniagaan bertindak memindahkan kos buruh menerusi kenaikan harga barangan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Sedek berkata, risiko utama terhadap pasaran buruh mungkin tidak manifests menerusi pemberhentian pekerja secara beramai-ramai pada peringkat awal, sebaliknya menerusi pembekuan pengambilan pekerja baharu, pengurangan kerja lebih masa serta percepatan proses automasi.

Katanya, penyesuaian ini juga berbeza mengikut sektor yang mana sektor pembuatan barangan elektrik, elektronik dan optikal mencatatkan pertumbuhan produktiviti tinggi sebanyak 11.9 peratus sejam, berbanding sektor perkhidmatan (4.5 peratus) dan pertanian (3.6 peratus).

“Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), beliau memberitahu penyesuaian kos itu memberi kesan langsung yang ketara kepada aliran tunai perniagaan.

“Sebagai contoh, perniagaan yang menggaji 10 pekerja gaji minimum bakal berdepan tambahan kos penggajian asas tahunan sebanyak RM24,000 sekiranya gaji minimum dinaikkan kepada RM1,900, atau RM36,000 jika dinaikkan kepada RM2,000 sebelum mengambil kira caruman berkanun majikan.

“Sehubungan itu, dasar gaji minimum negara perlu dilaksanakan seiring dengan dasar produktiviti merangkumi insentif automasi PMKS bersasar, penyelarasan TVET yang lebih kukuh, serta tempoh transisi mencukupi bagi sektor berintensifkan tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×