PETALING JAYA: Belanjawan 2027 dijangka memberi penekanan lebih besar kepada pengukuhan penggunaan swasta bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dirasai dengan lebih meluas dalam kalangan rakyat.
Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, langkah itu penting memandangkan penggunaan swasta menunjukkan prestasi yang agak sederhana dalam dua suku pertama tahun ini, meskipun pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan kekal berada pada asas yang kukuh.
Katanya, kerajaan juga dijangka terus mengambil langkah untuk melindungi ekonomi domestik daripada kesan tekanan luaran susulan ketidaktentuan ekonomi global, geopolitik dan perubahan dalam pasaran kewangan antarabangsa.
“Bagi Belanjawan 2027, kita mungkin melihat lebih banyak inisiatif untuk merangsang penggunaan swasta kerana penggunaan swasta sebenarnya agak mengecewakan dalam dua suku pertama tahun ini.
“Walaupun prestasi pertumbuhan Malaysia tidak sekata, asas ekonomi masih kukuh. Idea untuk Belanjawan 2027 adalah menjadikannya lebih meluas supaya rakyat dapat merasai dan mendapat manfaat daripada hasil pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pembentangan Prospek Pasaran sempena Tinjauan Pasaran AmBank BizDialogue: Apakah Implikasi Realiti Ekonomi Malaysia terhadap Belanjawan 2027.
Mengulas lanjut, Firdaos berkata, keadaan ekonomi global ketika ini turut menunjukkan perubahan apabila pelabur semakin selektif dalam menentukan sektor dan negara yang berpotensi memberikan pulangan mampan, berbanding hanya bergantung kepada angka pertumbuhan keseluruhan.
Katanya, pertumbuhan global kini lebih tertumpu kepada sektor berkaitan teknologi dan produktiviti, sekali gus mewujudkan keadaan yang tidak semestinya memberi manfaat secara sama rata kepada semua ekonomi.
“Jadi, ia bukan hanya mengenai apa yang berkembang, tetapi dari mana pertumbuhan itu datang. Pertumbuhan kini lebih tertumpu kepada industri yang berkaitan dengan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan ketegangan geopolitik serta kenaikan harga minyak turut menjadi antara faktor yang perlu diambil kira dalam merangka dasar ekonomi dan Belanjawan 2027.
Namun, katanya, keadaan tersebut belum menyebabkan pelabur mengambil pendekatan sepenuhnya mengelak risiko, sebaliknya mereka lebih berhati-hati dan selektif dalam menentukan pelaburan.
Menurutnya, permintaan terhadap bon Malaysia juga kekal, walaupun hasil bon global menunjukkan trend peningkatan.
“Risiko geopolitik semakin tinggi dan harga minyak mencecah AS$100 setong, tetapi pelabur tidak melarikan diri daripada risiko. Mereka hanya menjadi lebih selektif dan menuntut pulangan yang lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, peningkatan hasil bon jangka panjang Malaysia juga lebih banyak mencerminkan perkembangan hasil bon global, khususnya ekonomi maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Jerman.
Katanya, keadaan itu menunjukkan Belanjawan 2027 perlu mengambil kira persekitaran luaran yang semakin kompleks, pada masa sama memastikan pertumbuhan ekonomi domestik diterjemahkan kepada peningkatan aktiviti penggunaan dan kesejahteraan rakyat.
“Jadi, cabarannya adalah bagaimana kita memastikan pertumbuhan yang berlaku bukan hanya dilihat pada angka makroekonomi, tetapi dapat dirasai dengan lebih meluas oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN











