Pemilik syarikat didenda RM40,000 jual telefon bimbit tiruan - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didenda RM40,000 jual telefon bimbit tiruan

WONG Soon Yaw (tengah) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menjual 529 unit telefon bimbit yang menggunakan cap dagangan palsu pada Februari lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemilik syarikat didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual 529 unit telefon bimbit yang menggunakan cap dagangan palsu pada Februari lalu.

Tertuduh yang juga orang kena saman (OKS), Wong Soon Yaw, 37, turut berdepan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilucut hak kepada kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, Soon Yaw selaku pemilik syarikat didapati memiliki bagi maksud perdagangan sebanyak 529 unit telefon pintar pelbagai model jenama Oppo yang menggunakan cap dagangan berdaftar milik Guangdong Oppo Mobile Telecommunications Corp. Ltd. tanpa kebenaran.

Telefon pintar berkenaan terdiri daripada 115 unit model A31, model A74 5G (12), model A83 (12), model A56 5G (6), model A3S (14), model Reno3 (1), model A73 5G (365) dan model A53 (4).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis syarikat di Jalan Besar Gunung Rapat, Gunung Rapat pada pukul 12.25 tengah hari, 5 Februari 2026.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakaikan cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, N. Shamani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

OKS membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×