PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa semalam.
RoS menerusi kenyataan memaklumkan, perintah penggantungan itu dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.
Menurut jabatan itu, pihaknya sebelum ini mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) akta sama bertarikh 22 September lalu dan memberikan tempoh munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.
“Notis tersebut bertujuan meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS.
“Notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran,” katanya hari ini.
RoS dalam pada itu meminta semua pihak supaya merujuk maklumat rasmi yang dikeluarkan jabatan itu serta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Terdahulu, Bersatu mengesahkan menerima notis daripada RoS berhubung penjelasan berkaitan status pembatalan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, notis berkenaan diterima Bersatu pada petang semalam.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dibabitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dan isu status keanggotaannya dalam gabungan itu.-UTUSAN.











