Peniaga akur tapak niaga disusun semula

Peniaga akur tapak niaga disusun semula

PENIAGA bergotong-royong membersihkan tapak niaga di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 70 peniaga makanan dan minuman di kawasan Pantai Batu Buruk di sini, menerima langkah penempatan semula tapak niaga yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan kawasan berkenaan lebih kemas dan tersusun.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kuala Terengganu, Rico Devfendra Agus Suriadi berkata, ia selepas mengambil kira kepentingan untuk memastikan kawasan tumpuan orang ramai itu sentiasa bersih dan teratur.

Katanya, tapak niaga yang sudah wujud hampir 15 tahun di kawasan itu wajar disusun semula khususnya bagi memastikan imej kawasan Pantai Batu Buruk seiring dengan pembangunan pesat Bandaraya Kuala Terengganu.

“Persatuan menerima baik cadangan ini kerana ia dapat menjadikan kawasan perniagaan lebih kemas dan tersusun. Kami faham usaha MBKT untuk menyusun semula tapak peniaga terutama di kawasan pantai yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini.

Rico Devfendra berkata, peniaga terlibat dalam penempatan semula itu telah berbincang dalam satu pertemuan bersama pihak berkaitan bulan lalu.

Katanya, peniaga turut diberikan notis kira-kira seminggu lalu sebelum kerja-kerja pembersihan dan gotong-royong dilaksanakan di kawasan ber­kenaan.

“Kami tidak berniaga kira-kira 10 hari bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyusunan dan pembersihan kawasan. Selepas ini, peniaga berniaga semula di tapak yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, pihak persa­tuan terus bekerjasama dengan MBKT bagi memastikan kawasan perniagaan berkenaan sentiasa bersih, teratur dan tidak menjejaskan keselesaan pengunjung.

Difahamkan, tapak baharu yang disediakan mempunyai saiz lebih kecil berbanding tapak sebelum ini.

Kadar sewa ditetapkan sebanyak RM200 sebulan berbanding RM150 sebelum ini dan berkuat kuasa mulai 1 Oktober.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×