ADAKAH rakyat Malaysia benar-benar mencintai buku atau sekadar memilih bahan bacaan yang memenuhi minat masing-masing?
Persoalan itu menjadi antara cabaran dalam usaha membentuk budaya membaca. Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), ADIBAH OMAR, impian merealisasikan sasaran Rakyat Malaysia Membaca 2030 memerlukan usaha berterusan dan ekosistem perbukuan yang kukuh.
Antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk memperkasa Dasar Buku Negara (DBN) serta menjadikan PKB sebagai pusat sehenti perbukuan negara.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, LAUPA JUNUS, jurugambar IQBAL ROSLI dan juruvideo MOHD FARRIS IDERIS, Adibah mengupas cabaran industri perbukuan, Program Baucar Buku Madani serta usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang membaca menjelang 2030.
UTUSAN : Kongsikan latar belakang penubuhan PKB?
ADIBAH: Penubuhan PKB pada 2011 dan sebahagian daripada intipati DBN yang diwujudkan pada 1985. DBN menetapkan keperluan mewujudkan pusat sehenti perbukuan dan ketika itu belum ada agensi pelaksana atau penggerak. Akhirnya PKB diwujudkan pada 2011 sebagai syarikat di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Maka, PKB menjadi nukleus atau manuver penggerak pembangunan perbukuan negara.
PKB diwujudkan mengambil inspirasi daripada Kota buku di UAE Franskurt dan Itali.
PKB ditubuhkan berdasarkan apa yang digariskan dalam DBN, berkaitan aspek buku dan pembacaan manakala Majlis Buku Kebangasaan Malaysia (MKBM) merupakan tempat kami ‘berpayung’. Ringkasnya, kita sebagai pemandu inisiatif Dasar Perbukuan Malaysia.
Kelebihan PKB berada di bawah KPM?
Sebahagian besar golongan pembaca mesti bermula daripada akar umbi iaitu anak sekolah.
Kita ditubuhkan sebagai syarikat di bawah KPM dan mempunyai kelebihan dari segi akses kepada pelbagai perkara berkaitan perbukuan. Sama seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), semua pihak yang berkaitan dengan industri perbukuan boleh diletakkan di bawah satu payung yang sama. Oleh itu, PKB sesuai berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan dan menyelaras segala urusan berkaitan industri perbukuan.
PKB mahu menjadi sebuah organisasi yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap industri perbukuan. Namun, usaha untuk bergerak lebih pantas sehingga hari ini agak sukar disebabkan keadaan dan perkembangan yang berlaku di negara luar.
Sebagai makluman , MKBM diwujudkan atas arahan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menetapkan semua negara anggota perlu ada dasar perbukuan masing-masing. Maka kita berada dalam keadaan yang tersusun kemas dengan adanya strategi dan polisi.
Perkara ini penting kerana terdapat beberapa negara seperti Singapura dan Filipina yang industri perbukuan mereka tidak selari dengan dasar perbukuan yang ditetapkan.
Sebab itu industri perbukuan perlu selari dengan keperluan strategik kerajaan. Pada kami ia sebenarnya tidak perlu bercanggah.
Keduanya, PKB yang berada di bawah KPM dapat menjadi satu pasukan yang lebih tersusun. Dengan adanya pasukan ini, pelaksanaan dasar perbukuan dapat digerakkan dengan lebih teratur dan berkesan.
Siapa sebenarnya pemain atau pemegang taruh dalam industri perbukuan?
Antara pemain atau pihak berkepentingan adalah penulis, penerbit, pencetak penjual buku, kontraktor buku dan pihak yang terlibat dalam pengeksport serta pengimport buku ilustrator selain mereka yang terbabit dalam memperdagangkan hak cipta.
Bagaimana penerbit boleh memastikan buku yang diterbitkan kekal relevan dan mendapat sambutan dalam dunia yang semakin mencabar?
Selera dan cara pembacaan kini berubah. Begitu juga cara untuk mendapatkan maklumat. Pada zaman dahulu akhbar masih dibaca begitu juga majalah sentiasa ada tanpa gagal.
Ketika ini segalanya boleh diperoleh menerusi peranti. Jadi, penerbit perlu memastikan pengguna memperoleh maklumat dalam bentuk ringkas, padat, menarik serta mampan.
Itu pendapat saya supaya pemain industri perlu cepat belajar bagaimana mahu mempersembahkan maklumat kepada pembaca.
Apatah lagi bahan berkaitan sejarah yang sarat dengan maklumat dan penting dalam memupuk semangat nasionalisme. Penerbit perlu mempelajari kaedah menghasilkan buku yang lebih menarik supaya kandungan sejarah dapat disampaikan dengan berkesan dan mendapat perhatian masyarakat.
Apakah cara yang boleh dilakukan untuk mendorong masyarakat membuka ruang dan mendekati dunia buku serta memahami kepentingan membaca?
Di Barat mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video pendek atau dokumentasi berkaitan buku.
Ini antara cara untuk kita menguar-uarkan dan mempromosikan buku bagi menarik minat pembaca. Penerbit dan industri perbukuan juga boleh memanfaatkan AI untuk membantu mengolah manuskrip yang tebal kepada format video yang lebih menarik sebelum dikongsikan di media sosial.
Pendekatan ini boleh membantu menjana minat orang ramai untuk mengenali dan seterusnya membaca buku tersebut.
Oleh itu, buku yang mempunyai kandungan baik perlu disertai strategi promosi berkesan bagi memastikan karya penulis dapat sampai kepada pembaca.
Bagaimana pula tentang peranan PKB dalam hal ini?
Kami di PKB ada program Baucar Buku Madani yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu melibatkan 2.23 juta pelajar bagi membolehkan mereka membeli buku dengan baucar RM100 seorang.
Kita juga memperkenalkan Judul Khas Madani atas permintaan Perdana Menteri. Melalui program ini, pelajar diwajibkan membeli buku dalam kategori tersebut, termasuk buku sejarah, karya Sasterawan Negara serta tulisan berkaitan pemimpin negara.
Dalam hali ini PKB sebagai penghantar manakala pelajar sebagai pembeli atau penempah.
Sistem ini 100 peratus telus, bersasar dan tiada ketirisan. Dengan adanya baucar tersebut, pelajar tidak boleh menyalahgunakannya untuk tujuan lain seperti tambah nilai prabayar telefon bimbit kerana kita mempunyai data dan rekod bagi setiap 2.2 juta pelajar yang terlibat.
Ini merupakan usaha mendemokrasikan industri perbukuan bagi memastikan penerima baucar, di mana sahaja mereka berada, berpeluang memiliki buku dengan harga dan kualiti yang sama. Tidak kira sama ada mereka tinggal di Melawati, Kinabatangan, Sungai Petani atau Jeli, akses kepada buku tetap dapat dinikmati secara lebih saksama.
Apa kelebihan program ini?
Ini merupakan antara kelebihan kerajaan yang memberi perhatian dan melabur dalam industri perbukuan. Tidak banyak negara mengambil pendekatan sedemikian, namun kerajaan kita melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang dengan memahami keperluan rakyat Malaysia. Walaupun melibatkan peruntukan yang besar, pendekatan ini setanding negara maju dan beberapa negara ASEAN memandang tinggi pendekatan ini.
Di sesetengah negara, baucar turut diberikan kepada golongan tertentu bersama kemudahan untuk menampung kos lain, termasuk perbelanjaan gaya hidup.
Namun, dalam usaha membina negara bangsa, rakyat perlu mempunyai ilmu dan keupayaan menilai serta membandingkan sesuatu perkara. Jangan sekadar memberi pandangan tanpa asas ilmu dan pembacaan.
Apa perancangan seterusnya?
Kita dapati ramai yang minat membaca tetapi tidak mempunyai masa untuk memegang buku. Jadi, kita perlu mencari pendekatan baharu supaya minat terhadap buku terus berkembang, antaranya melalui penghasilan buku audio yang boleh didengar sambil melakukan aktiviti lain seperti memasak.
Kita perlu mewujudkan kategori pembaca ini supaya industri perbukuan turut berkembang. Dengan 54 kakitangan, PKB akan terus menggerakkan inisiatif ini tanpa mengira siapa yang memimpin pada masa akan datang.
Impian saya adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus mencintai buku dalam apa juga platform dan merealisasikan Malaysia Membaca 2030. –UTUSAN











