KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan logistik terkemuka yang berpangkalan di Indonesia Lion Parcel kini memulakan operasi pertamanya di negara ini sebagai langkah pertama memasuki pasaran luar negara bagi memperkukuh hubungan logistik antara dua negara jiran dan pasaran negara lain-lain.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farian Kirana dalam satu kenyataan berkata, Malaysia dipilih sebagai pasaran pertama dalam jaringan pasaran antarabangsa Lion Parcel kerana kedudukannya yang strategik sebagai hab serantau.
“Malaysia menjadi langkah awal penting dalam perjalanan antarabangsa Lion Parcel kerana kami melihat peluang untuk memperluas akses kepada rangkaian dan hubungan logistik bagi perniagaan serta komuniti, sekali gus membantu mereka menggerakkan barangan dengan lebih cekap merentasi pasaran dan mencapai peluang yang lebih luas.
“Kehadiran Lion Parcel bukan sekadar sebagai penyedia perkhidmatan logistik, tetapi juga sebagai pemangkin ekosistem yang menghubungkan perniagaan dengan lebih banyak peluang seiring perkembangan perdagangan mereka,” kata hari ini.
Menurut Farian, kemasukan ke pasaran Malaysia turut mencerminkan komitmen Lion Parcel untuk terus berkembang sambil mengekalkan pendekatan kolaboratif.
“Kami percaya syarikat-syarikat dalam industri logistik boleh membangun bersama. Setiap pemain mempunyai peranan dalam membangunkan perkhidmatan logistik yang lebih baik.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pemain industri dan rakan kongsi di Malaysia kerana pertumbuhan industri akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk semua pihak,” ujarnya.
Senada dengan pandangan tersebut, Alvin Williams, Ketua Lion Parcel Malaysia berkata, syarikat melihat Malaysia bukan sekadar sebuah pasaran yang penting, malah sebagai lokasi strategik dalam landskap logistik serantau yang sentiasa berevolusi.
“Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan hubungan logistik serantau, khususnya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau bagi kargo udara dan hab transit.
“Bagi kami, ini mewujudkan peluang untuk menghubungkan perkhidmatan logistik dengan rangkaian kargo udara yang lebih meluas dan seterusnya, menyokong kelancaran pergerakan barangan di antara Malaysia, Indonesia, serta pasaran antarabangsa yang lain,” jelas Alvin.
Berlandaskan kesalinghubungan tersebut, Lion Parcel Malaysia menyasarkan untuk melengkapi infrastruktur udara dan kargo sedia ada dengan menghubungkan perkhidmatan penghantaran kepada rangkaian logistik yang lebih luas.
Lion Parcel kini menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan B2B dan runcit, meliputi penghantaran antarabangsa ke pelbagai destinasi melalui rangkaian penerbangan Lion Group.-UTUSAN










