LONDON: Lebih 450,000 orang dijangka terkorban akibat peningkatan haba yang dicetuskan fenomena super El Nino dalam tempoh enam bulan akan datang, menurut anggaran saintis iklim.
Haba yang dicetuskan fenomena itu jauh lebih tinggi berbanding kejadian terdahulu sehingga saintis menyifatkannya sebagai sukar dipercayai dan bertahap ‘Godzilla’.
Jumlah itu adalah tambahan kepada kematian awal akibat suhu yang sudah meningkat disebabkan krisis iklim. Kesan tersebut dijangka dirasai di seluruh dunia, dengan negara yang paling terjejas dalam tempoh enam bulan akan datang ialah di kawasan tropika seperti Nigeria, Indonesia, Sudan, India dan Brazil.
AS berada dalam kelompok 20 negara paling terjejas, dengan tambahan 3,500 kematian akibat haba dijangka berlaku.
Anggaran kematian itu meliputi tempoh September hingga Februari 2027, iaitu sehingga tempoh ramalan suhu semasa berakhir. Namun, peningkatan kematian akibat haba dijangka berterusan sehingga Jun atau Julai 2027.
Lebih banyak kematian juga dijangka berlaku akibat kemarau, kebakaran hutan dan banjir yang lazimnya berlaku ketika fenomena El Nino.
Anggaran kematian akibat haba itu dibuat mengikut wilayah dan penyelidik berkata, unjuran berkenaan dapat mengenal pasti kawasan yang memerlukan langkah perlindungan bagi menyelamatkan nyawa.
Langkah berkenaan termasuk ramalan cuaca panas yang lebih baik, pusat penyejukan untuk orang ramai berlindung, penambahan kakitangan di kemudahan perubatan ketika suhu paling tinggi serta perlindungan untuk pekerja luar.
El Nino kini menyebabkan suhu global terus meningkat dan memecahkan rekod suhu tertinggi pernah dicatatkan bagi fenomena itu pada Isnin, beberapa bulan lebih awal daripada jangkaan kemuncaknya.
Penyelidik berkata, kesan yang berlaku juga merupakan gambaran awal masa depan kerana fenomena berkenaan meningkatkan suhu ke paras yang dijangka dicapai akibat krisis iklim dalam tempoh 20 tahun akan datang.-AGENSI











