Inflasi makanan dijangka meningkat 2027 - Utusan Malaysia

Inflasi makanan dijangka meningkat 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi makanan berpotensi kembali meningkat dalam tempoh terdekat susulan tekanan luaran dan bekalan, termasuk peningkatan kos input pertanian khususnya harga baja serta keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran domestik.

MBSB Research berkata, tekanan berkenaan dijangka memberi kesan kepada harga makanan runcit, terutama hasil segar dan barangan makanan keperluan yang bekalannya lebih sensitif terhadap keadaan cuaca serta keadaan pengeluaran.

Katanya, walaupun inflasi keseluruhan kekal terkawal, pengukuhan sekuriti makanan penting bagi meningkatkan daya tahan sektor makanan domestik dalam menghadapi perkembangan luaran yang tidak menentu.

“Hal ini kerana makanan merangkumi hampir satu pertiga daripada bakul penggunaan rakyat Malaysia, sekali gus memainkan peranan penting dalam menentukan inflasi keseluruhan dan tekanan kos sara hidup isi rumah. 

“Impaknya amat ketara bagi isi rumah berpendapatan rendah yang lazimnya memperuntukkan bahagian perbelanjaan lebih besar kepada makanan dan keperluan asas lain,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma penyelidikan, kesan serta-merta konflik Amerika Syarikat-Iran terhadap bekalan makanan Malaysia dijangka masih boleh diurus, namun risiko lebih besar terletak pada kesan tertangguh melalui kitaran pengeluaran pertanian. 

“Gangguan berpanjangan terhadap tenaga dan laluan perkapalan di Timur Tengah boleh meningkatkan kos minyak mentah, gas asli, pengangkutan serta insurans.

“Tekanan ini pada peringkat awal akan tercermin dalam harga baja, makanan ternakan, pembungkusan, elektrik dan pengangkutan sebelum akhirnya memberi kesan kepada hasil pertanian serta harga makanan runcit,” katanya. 

Memandangkan petani membuat keputusan berkaitan penanaman dan pengeluaran beberapa bulan lebih awal, kesan penuh gangguan tersebut mungkin hanya dapat dilihat melalui hasil yang lebih rendah, bekalan yang semakin ketat dan kenaikan harga makanan pada 2027, walaupun konflik geopolitik itu kembali reda selepas itu.

Harga gas asli dan tenaga yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pengeluaran baja berasaskan nitrogen, manakala gangguan perdagangan maritim turut boleh menjejaskan ketersediaan dan penghantaran input baja.

Petani yang berdepan kos lebih tinggi atau bekalan yang tidak menentu mungkin mengurangkan penggunaan baja, menangguhkan penanaman atau beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan input.

Penyesuaian itu mungkin membantu mengekalkan aliran tunai dalam jangka pendek, namun berpotensi menjejaskan hasil pada musim tuaian berikutnya.

Justeru, risiko terhadap sekuriti makanan tidak semestinya muncul dalam bentuk kekurangan bekalan serta-merta, sebaliknya melalui kemerosotan produktiviti pertanian secara beransur-ansur dan penyusutan bekalan pada musim penanaman berikutnya.

MBSB Research berkata, kenaikan berterusan kos makanan, bahan api dan utiliti juga berpotensi mengurangkan pendapatan boleh guna serta perbelanjaan mengikut budi bicara isi rumah.

“Sehubungan itu, dasar yang mengukuhkan bekalan makanan, meningkatkan kemampuan rakyat dan mengurangkan turun naik berlebihan dalam kos keperluan asas dilihat penting bagi menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×