MICCI PPSC, Petronas perkukuh kerjasama pacu sektor huluan petroleum - Utusan Malaysia

MICCI PPSC, Petronas perkukuh kerjasama pacu sektor huluan petroleum

BACHO Pilong (duduk, enam dari kanan) dan Ben Kwa (duduk, lima dari kanan) bersama wakil kontraktor perkongsian pengeluaran petroleum sektor huluan Malaysia pada sesi libat urus tahunan bersama Petronas di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kontraktor Perkongsian Pengeluaran Petroleum (PPSC) di bawah Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) memperkukuh kerjasama strategik dengan Petronas menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) bagi memacu sektor petroleum huluan negara.

Langkah itu dilaksanakan menerusi sesi libat urus tahunan bagi memberi ruang kepada wakil sektor berkenaan bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa industri.

Sesi yang turut dihadiri Naib Presiden Kanan MPM Petronas, Datuk Ir. Dr Bacho Pilong bersama barisan pemimpin kontraktor itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kejelasan, penyelarasan serta manfaat bersama dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.

Konvenor Jawatankuasa MICCI PPSC, Ben Kwa berkata, penglibatan berterusan antara pihak industri dan pengawal selia amat penting berikutan persekitaran operasi sektor huluan yang mencabar.

“PPSC menyediakan platform untuk ahli mengetengahkan perkara yang memberi kesan kepada sektor ini, berkongsi pandangan industri dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan ke arah penambahbaikan berterusan serta manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, sesi berkenaan turut menyediakan ruang pertukaran pandangan mengenai kesiapsiagaan operasi dan rantaian bekalan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, di samping menekankan kepentingan pelaburan berterusan, pembangunan keupayaan serta keselamatan sektor huluan.

Perbincangan juga mengetengahkan perkembangan positif dalam beberapa bidang utama merangkumi aspek fiskal dan ekonomi, perolehan, penerokaan, penyahkarbonan, pembangunan bakat serta operasi.

Tambahnya, ditubuhkan pada tahun 1988, PPSC kini terdiri daripada 24 kontraktor perkongsian pengeluaran sektor huluan merangkumi pengendali dan bukan pengendali.

“Jawatankuasa tersebut berperanan sebagai platform utama untuk mengetengahkan kepentingan bersama serta berhubung dengan pengawal selia industri dan kerajaan mengenai isu berkaitan sektor minyak dan gas huluan,” katanya. 

Kerjasama berterusan ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan sektor huluan yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan mampan, sekali gus menyokong aspirasi tenaga jangka panjang Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×