PENYATUAN ummah kembali menjadi antara istilah paling besar dalam politik Melayu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengangkat gagasan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, baru-baru ini.
Seruan itu hadir pada waktu politik Melayu semakin berpecah kepada pelbagai parti.
Malah Ahmad Zahid mengakui politik Melayu tidak lagi berpusat pada satu wadah, manakala kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi seperti dahulu.
Ini bermakna, penyatuan yang diharapkan melalui kerjasama UMNO dan Pas tidak boleh hanya dinilai pada siapa duduk semeja, siapa bersalaman atau siapa akhirnya bekerjasama dalam pilihan raya.
Sebab itu, seruan penyatuan perlu dilihat dengan lebih kritikal. Rakyat sudah melalui terlalu banyak episod politik yang bermula dengan kata-kata besar, kemudian berakhir apabila sesuatu kepentingan berubah.
Kita boleh lihat dalam politik apabila sesebuah parti bercakap tentang persaudaraan hari ini tetapi esok saling menuduh. Sama juga, hari ini bersetuju untuk bekerjasama dan tidak lama kemudian, janji yang dibuat mula dipersoalkan.
Ahmad Zahid sendiri meletakkan satu syarat yang jelas dalam persefahaman politik, iaitu jangan ada pengkhianatan dan jangan memungkiri janji. Malah beliau menggunakan gambaran jangan membina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan pada waktu malam.
PENYATUAN PERLU BUKTI
Kalau begitu, syarat pertama penyatuan perlu dibaca sebagai bukan tentang pembahagian kerusi tetapi meletakkan kepercayaan di kedudukan yang paling tinggi.
Ahli-ahli politik perlu menyedari yang anak muda masih memikirkan pekerjaan, ketua keluarga masih mengira perbelanjaan bulanan dan pemilikan rumah semakin menjadi cabaran.
Begitu juga dengan hal pendidikan yang memerlukan pembaharuan, sementara dunia pekerjaan pula berubah dengan begitu pantas akibat teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menyebabkan ada yang terpaksa kehilangan pekerjaan.
Dalam keadaan seperti ini, rakyat tidak peduli siapa musuh kepada sesebuah parti politik tetapi hanya mahukan masalah yang membelenggu diselesaikan.
Maka, penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan orang politik semata-mata. Apa yang sebenarnya ‘disatukan’ jika hanya pemimpin kembali bersatu tetapi kehidupan rakyat tidak banyak berubah?
Penyatuan juga mesti disertai keberanian untuk mengakui politik mempunyai batas. Tidak semua perkara boleh dijadikan bahan percaturan parti.
Ini termasuk penghormatan terhadap institusi diraja perlu konsisten. Begitu juga ketika berlaku perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan negeri atau sesuatu isu yang sensitif.
Isu penternakan babi di Tanjong Sepat yang membawa kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya operasi berkenaan dihentikan dan dipindahkan ke Bukit Tagar menunjukkan bagaimana isu dasar boleh berkembang lebih luas dengan mengaitkan elemen tadbir urus, alam sekitar serta kedudukan institusi diraja.
Ini bukan soal menyebelahi mana-mana pihak. Sebaliknya, perlu difahami ialah politik yang matang tidak boleh memilih untuk menghormati institusi hanya ketika selari dengan kepentingan sendiri.
Begitu juga dengan agama dan kepentingan Melayu yang tidak seharusnya hanya muncul dengan lebih kuat apabila pilihan raya semakin hampir.
Jika benar mahu menyatukan ummah, maka segala perhatian mesti beralih kepada perkara yang selama ini sukar diselesaikan melibatkan penguasaan ekonomi, pemilikan aset, pendidikan, kemahiran, teknologi, mobiliti sosial dan masa hadapan generasi muda.
Ahmad Zahid menggariskan Agenda Malaysia Biru berasaskan empat gagasan, iaitu Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, rakyat makmur dan saksama serta negara yang unggul dan disegani dunia.
Antara matlamat yang disebut termasuk mencipta kekayaan, membina manusia, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional. Ingat, agenda ini tidak boleh sekadar cantik dalam dokumen.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi pelajaran. Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala di Negeri Sembilan parti itu memperoleh 18 daripada 36 kerusi dan bersama Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri.
Pun begitu, kemenangan pilihan raya bukan jaminan kepercayaan rakyat akan kekal memandangkan generasi baharu tidak terikat dengan nostalgia politik lama dan pengundi tidak semestinya setia kepada sesebuah parti.
Jangan kerana menang beberapa PRN menyebabkan UMNO kembali menganggap rakyat akan terus bersama parti tanpa perlu diyakinkan semula.
Rakyat boleh menghargai prestasi hari ini dan pada masa sama menilai semula pilihan mereka esok.
Sebab itu UMNO, Pas atau mana-mana parti yang bercakap tentang penyatuan perlu bersedia menerima hakikat rakyat tidak semestinya mahu melihat lebih banyak percaturan politik tetapi hasil.
Jika penyatuan hanya bermaksud menyusun kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), maka rakyat berhak melihatnya sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya.
Sebaliknya, jika penyatuan mahu diberikan makna yang lebih besar, maka mesti dibuktikan dengan sesuatu yang melampaui pilihan raya. Lebih penting lagi, jangan sampai perkataan “ummah” menjadi terlalu mudah digunakan sehingga hilang maknanya.
Di sinilah keikhlasan akan benar-benar diuji ketika tiada keuntungan politik yang boleh diperoleh tetapi sesuatu keputusan tetap perlu dibuat demi kepentingan rakyat.
UMNO mempunyai ruang untuk membuktikan perkara itu. Ini kerana kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan memberi keyakinan tetapi janganlah sehingga bertukar menjadi kesombongan. Lebih-lebih lagi apabila PRU16 semakin menjadi tumpuan dan Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai detik penentuan untuk mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
Ingat, penyatuan sebenar bermula apabila kuasa yang dikumpulkan itu benar-benar kembali kepada rakyat. –UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.











