AS bina dua pangkalan tentera di Greenland, meterai perjanjian baharu dengan Denmark

AS bina dua pangkalan tentera di Greenland, meterai perjanjian baharu dengan Denmark

Amerika Syarikat (AS) dijangka menempatkan tentera di Greenland. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS), Denmark dan Greenland menandatangani perjanjian pertahanan yang membolehkan Washington membina dua pangkalan tentera baharu di wilayah Artik itu, sambil mengesahkan semula kedaulatan Copenhagen ke atasnya.

Sebelum majlis menandatangani perjanjian itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Presiden AS, Donald Trump berkata, pihaknya akan segera memulakan proses membangunkan kehadiran ketenteraan yang besar di lokasi sesuai.

Menurut Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, perjanjian itu adalah jalan terbaik untuk AS, Denmark dan Greenland, Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), manakala Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, menyifatkannya sebagai ‘perjanjian menang-menang-menang’.

Ketiga-tiga pemimpin kemudian menandatangani perjanjian itu, yang dilihat menamatkan ketegangan selama lebih setahun berhubung wilayah Artik berkenaan.

Trump sebelum ini mengancam untuk mengambil alih wilayah Artik separa autonomi itu atas alasan kebimbangan keselamatan negara, dengan memetik kedudukannya yang strategik dari segi pertahanan serta kekayaan mineralnya.

Tindakan Trump mencetuskan bantahan dalam kalangan penduduk Greenland, rakyat Denmark dan pemimpin Eropah yang mengeluarkan kenyataan bersama bahawa kata-katanya menjejaskan hubungan rentas Atlantik dan berisiko mencetus ketegangan yang berbahaya.

Perjanjian itu meminda dan mengemas kini perjanjian pertahanan antara Denmark dan AS yang dimeterai pada 1951.

Perjanjian baharu itu menyatakan AS dibenarkan menubuhkan kawasan pertahanan tambahan di Narsarsuaq dan Mestersvig, merujuk kepada lokasi di selatan dan timur Greenland.

Narsarsuaq merupakan bekas lapangan terbang awam dan pangkalan Perang Dunia Kedua. Lokasi itu mempunyai akses ke perairan dalam serta landasan panjang yang baru-baru ini ditinjau jurutera tentera AS, menurut pengesahan Komando Utara AS kepada BBC.

Pos Mestersvig pula terletak di kawasan terpencil, jauh kurang membangun dan digunakan oleh unit kereta luncur anjing tentera laut Denmark.

Kaedah pelaksanaan dan butiran teknikal pangkalan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan menurut perjanjian itu, perkara berkenaan mesti dipersetujui oleh semua pihak.

Ini bermakna pengaturan keselamatan AS tidak boleh dilaksanakan tanpa batasan dan kelulusan Greenland serta Denmark masih diperlukan.

Washington kini mengendalikan Pangkalan Angkasa Pituffik di barat laut Greenland dan perjanjian baharu itu membolehkan AS memodenkan dan memperluaskan aktivitinya di situ.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×