Cheong Min akur gangsa selepas tersilap mendarat

Cheong Min akur gangsa selepas tersilap mendarat

Tan Cheong Min menang pingat gangsa acara nanquan-nandao wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam. - IHSAN MAJLIS SUKAN NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesilapan ketika melakukan pendaratan dalam disiplin nandao memaksa atlet wushu negara, Tan Cheong Min berpuas hati dengan pingat gangsa acara nanquan-nandao wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Cheong Min yang menyasarkan sekurang-kurangnya pingat perak gagal mengulangi pencapaian perak pada edisi Hangzhou 2022 selepas mengumpul 19.389 mata keseluruhan di Aichi Prefectural Martial Arts Hall.

Atlet negara itu terlebih dahulu mengumpul 9.726 mata dalam nanquan sebelum meraih 9.663 mata dalam nandao untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Kesilapan ketika mendarat dalam nandao menjadi punca markahnya dipotong, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk mencabar kedudukan lebih tinggi.

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan untuk mendapat gangsa kerana sasaran kami adalah sekurang-kurangnya perak dan mungkin mencabar untuk emas.

“Namun, saya melakukan kesilapan ketika acara nandao. Pendaratan saya sedikit tidak stabil dan markah saya dipotong,” katanya selepas aksi di Dewan Prefectural Aichi.

Cheong Min mengakui terkilan kerana gagal mencapai sasaran selepas persiapan panjang dilakukan bagi menghadapi temasya itu, namun tetap bersyukur kerana kesilapan berkenaan tidak menyebabkan dirinya terkeluar daripada podium.

“Saya sedikit terkilan untuk kontinjen Malaysia dan diri sendiri kerana kami sudah lama membuat persiapan untuk saingan ini.

“Saya rasa sedikit bernasib baik kerana masih mampu memenangi pingat. Keadaannya mungkin lebih buruk kerana saya boleh menamatkan saingan di luar podium.

“Walaupun persembahan saya tidak sempurna, saya tetap gembira dan bersyukur kerana segala kerja keras kami sekurang-kurangnya membuahkan pingat gangsa,” katanya.

Emas menjadi milik wakil China, Zhang Yaling yang mengumpul 19.569 mata hasil 9.783 mata dalam nanquan dan 9.786 mata dalam nandao, manakala Darya Latisheva dari Uzbekistan meraih perak dengan 19.413 mata (9.703, 9.710). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×