Kumpulan inovatif Luminous daripada Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi MARA (UITM) mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan) di
Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Universiti Awam (KIK-UA) ke-18.
Konvensyen berprestij itu dianjurkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Selain merangkul gelaran johan, kecemerlangan kumpulan ini turut diiktiraf dengan Anugerah Pembentangan Terbaik.
Kejayaan cemerlang ini diraih menerusi inovasi SpeciFill, sebuah alat keselamatan dan pengasingan sisa spesimen makmal patologi anatomik.

Projek yang diterajui oleh Sari Aspara Bakri selaku ketua kumpulan, dan disokong oleh Mohd. Adiffer Othman (fasilitator) serta Husaini Ab. Razab (mentor) berserta 10 orang ahli yang merupakan pakar dan petugas makmal, menzahirkan penyelesaian tuntas terhadap aspek keselamatan dalam pengendalian bahan kimia berformalin.
Kejayaan itu amat berkait rapat dengan sokongan berterusan daripada Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) UiTM. Peranan InQKA amat kritikal dalam memperkasa ekosistem dan DNA inovasi di universiti, memberikan sokongan penuh kepada kumpulan Luminous untuk beraksi di pentas KIK-UA.
Sinergi tersebut mencerminkan keberhasilan InQKA dalam membudayakan inovasi secara berstruktur bagi menyelesaikan cabaran industri, selaras dengan agenda universiti untuk terus memartabatkan budaya kecemerlangan kreatif yang berdaya saing di peringkat kebangsaan.
Penciptaan SpeciFill merupakan manifestasi kecemerlangan institusi serta menyumbang kepada pembangunan negara. Inovasi tersebut memberikan dwiimpak utama iaitu memendekkan masa proses kerja untuk kelestarian operasi, serta meminimumkan risiko pendedahan wap formalin berbahaya kepada petugas. Ini secara langsung memperkasakan standard Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP/OSH) di negara ini.
Dengan kos pembangunan tempatan yang jauh lebih rendah berbanding teknologi luar, SpeciFill membuktikan bahawa inovasi anak tempatan mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi import. Selain itu, sistem pengurusan sisa kimia yang lebih cekap itu turut menjunjung agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) demi kelestarian alam sekitar._UTUSAN











