Sektor kewangan, perniagaan perlu segera adaptasi AI 

Sektor kewangan, perniagaan perlu segera adaptasi AI 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan dan perniagaan perlu mempercepatkan penerapan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan daya saing terus diperkukuh, selain membuka ruang kepada pembentukan rantaian bekalan lebih berdaya tahan serta peluang ekonomi baharu. 

Perunding Dasar Kanan Asia Pasifik, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Sharath Martin berkata, perkembangan AI khususnya AI generatif (Gen-AI) dan agentic AI semakin pantas, sekali gus menuntut organisasi mempercepat usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan membangunkan keupayaan teknologi.

Katanya, penggunaan Gen-AI dalam kalangan akauntan dan profesional kewangan kini semakin diterima, namun masih banyak ruang untuk diterokai, khususnya menerusi penggunaan agentic AI yang berpotensi membantu membentuk rantaian bekalan lebih berdaya tahan.

“Perkara ini bukan hanya persoalan untuk perniagaan di Malaysia, tetapi juga ASEAN. Kemajuan besar sedang berlaku di China dan Amerika Syarikat (AS), justeru ASEAN tidak boleh ketinggalan.

“AI mempunyai potensi besar untuk menjadi pengganda kepada pelbagai perkhidmatan dan produk yang diperlukan bagi mengembangkan ekonomi kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Ke-10 Kerjasama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Chartered Accountants Australia & New Zealand (CA ANZ), di sini hari ini.

Martin berkata, perkembangan AI juga tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai ancaman terhadap peluang pekerjaan, sebaliknya perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemunculan sektor baharu.

Menurut beliau, sama seperti perkembangan sektor tenaga dan minyak sebelum ini yang mencetuskan pelbagai produk, perkhidmatan serta aktiviti ekonomi baharu, AI juga berpotensi membawa perubahan besar kepada struktur ekonomi.

“Berdasarkan penyelidikan kami, isu ini bukan lagi sekadar mengenai kebimbangan kehilangan pekerjaan, tetapi bagaimana kita boleh mengembangkan ekonomi.

“Peluang, produk, perkhidmatan dan sektor ekonomi baharu boleh muncul hasil daripada perkembangan AI,” katanya.

Bagaimanapun, Martin berkata, kadar peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja masih belum bergerak pada kadar yang seiring dengan kepesatan perubahan teknologi.

Beliau berkata, organisasi perlu mempergiat usaha meningkatkan kemahiran pekerja dalam pelbagai teknologi AI, di samping memanfaatkan kreativiti rakyat Malaysia untuk membangunkan aplikasi baharu yang mempunyai nilai ekonomi.

“Rakyat Malaysia sangat kreatif. Kita perlu menggabungkan kreativiti itu dengan keupayaan teknologi yang ditawarkan AI. Peluangnya sangat luas sehingga kreativiti kita sendiri mungkin menjadi batasan, bukannya AI,” katanya.

Martin berkata, antara bidang yang berpotensi mendapat manfaat daripada AI ialah percukaian, termasuk menerusi keupayaan teknologi itu menganalisis peraturan dan rangka kerja cukai bagi mengenal pasti peluang melalui struktur tarif dan penetapan harga.

Menurut beliau, teknologi sama turut berpotensi membantu menangani cabaran demografi, termasuk peningkatan populasi berusia, menerusi pembangunan penyelesaian penjagaan warga emas yang pada masa sama berpotensi membantu mengurangkan kos insurans.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan AI di peringkat serantau menunjukkan perkembangan ketara apabila lebih 50 peratus responden dalam tinjauan yang dijalankan menggunakan Gen-AI, manakala kira-kira 30 peratus menggunakan agentic AI.

Katanya, kadar penggunaan Gen-AI di China pula telah melepasi 60 peratus, mencerminkan kepantasan negara itu mengadaptasi teknologi berkenaan.

“Tiada lagi ruang untuk kita menunggu dan melihat apa yang dilakukan negara lain. Masa untuk berbuat demikian sudah berlalu.

“Jika kita tidak bergerak cukup pantas, AI boleh menjadi satu lagi bentuk infrastruktur yang menghalang pertumbuhan kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×