Pameran Engineer dan Marvex 2026 sasar transaksi perniagaan RM500 juta - Utusan Malaysia

Pameran Engineer dan Marvex 2026 sasar transaksi perniagaan RM500 juta

ABDUL Rahman Mohamad (tiga dari kanan) bersama Vincent Lim (kanan) semasa majlis pelancaran pameran Engineer dan Marvex 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Engineer dan Marvex 2026 mensasarkan nilai transaksi perniagaan dianggarkan mencecah RM500 juta sepanjang penganjurannya. 

Presiden C.I.S, Datuk Vincent Lim berkata, pameran itu turut menyasarkan kehadiran sehingga 15,500 pengunjung, merangkumi lebih 7,600 jurutera serta 90 peratus pelawat perdagangan dari 70 buah negara dan wilayah.  

“Bagi pameran yang baru memasuki tahun kelima penganjurannya, pertumbuhan ini membuktikan bahawa industri melihat nilai platform ini, sekali gus menyaksikan Engineer dan Marvex berkembang daripada pameran tempatan kepada pintu masuk perniagaan ke rantau ASEAN.  

“Kami percaya Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan ini menerusi bakat kejuruteraan yang kukuh, keupayaan pembuatan, ekosistem teknologi yang kian berkembang serta akses strategik ke rantau ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran pameran berkenaan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Penyaman Udara dan Penyejukan Malaysia (MACRA), Gan Chok Ser serta Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Pameran yang berlangsung dari 22 hingga 25 September itu turut diadakan serentak dengan Pameran Pusat Data Asia (DCX Asia) yang membawakan tema ‘Powering Asia’s Digital Backbone’.

Mengulas lanjut, Vincent berkata, penganjuran tahun ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu Infrastruktur Pusat Data, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) serta Inovasi Pengudaraan dan Penyejukan (HVAC) untuk Bangunan Pintar dan Hijau.  

“Tiga komponen ini dibawakan khas bersama jurutera serta pakar industri yang memahami hala tuju sektor berkenaan bagi memenuhi permintaan infrastruktur masa hadapan.  

“Bagi melengkapi pameran ini, kami turut membawakan sesi ‘Industry Power Talks’ serta perkongsian ilmu menerusi Konvensyen IEM, Forum MARVEX dan Persidangan A.C.E bagi menghubungkan industri melalui teknologi, pengetahuan dan kepakaran,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penganjuran itu memberi peluang kepada pihak perniagaan mengenal pasti permintaan serta peluang baharu dalam pasaran Malaysia dan rantau ini.  

Katanya, tiga pameran secara langsung amat bertepatan dengan keutamaan PETRA dan berkait rapat dengan cabaran utama negara dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital seiring pengurusan grid serta tenaga yang cekap.

“Malaysia berhasrat menjadi hab tenaga bersih utama di ASEAN. Seiring pembangunan Grid Kuasa ASEAN dan peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara, kita mempunyai peluang untuk membangunkan serta membekalkan penyelesaian tenaga bersih ke seluruh rantau.  

“Dalam tempoh sedekad akan datang, Malaysia berpeluang memainkan peranan utama dalam peralihan tenaga. Kejayaan ini bergantung kepada jurutera dan rakan industri yang mampu menterjemahkan dasar kepada projek yang dapat dilaksanakan,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×