KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memohon peruntukan sebanyak RM550.7 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi melaksanakan enam inisiatif utama melibatkan perpaduan, keharmonian serta pemeliharaan warisan negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, permohonan itu merangkumi program perpaduan dan identiti nasional, keharmonian, geran padanan, warisan, penambahbaikan premis perpaduan serta pendigitalan.
Katanya, jumlah yang dipohon itu jauh lebih tinggi berbanding RM136 juta yang diterima kementerian menerusi Belanjawan 2026.
“Untuk tahun depan, kita minta RM550.7 juta yang merangkumi enam inisiatif.
“Yang pertama, program perpaduan dan identiti nasional. Ini semua program seperti Gerak Integrasi Perpaduan, Jalinan Integrasi Nasional, program muzium dan lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Festival Penceritaan Malaysia (FPM) 2026 di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Aaron berkata, kementerian turut memohon peruntukan geran padanan bagi perpustakaan dan arkib masing-masing sebanyak RM5 juta, selain RM5 juta untuk muzium yang diterima pada tahun ini.
Jelasnya, permohonan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).
“Untuk tahun ini, kita hanya dapat geran padanan untuk muzium sebanyak RM5 juta. Untuk tahun depan, kita mohon juga RM5 juta untuk perpustakaan dan RM5 juta untuk arkib,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan premis perpaduan turut menjadi antara fokus utama permohonan berkenaan, termasuk taska perpaduan, arkib, perpustakaan desa dan muzium.
Beliau berkata, KPN mempunyai 506 perpustakaan desa di seluruh negara, selain 10 memorial dan 22 muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia.
“Yang terakhir melibatkan pendigitalan antara tiga-tiga agensi ini. Jadi, ini enam fokus utama yang kita akan mohon untuk 2027,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron berkata, pembinaan Muzium Sejarah Negara berkonsepkan model muzium sejarah kebangsaan di London yang baharu akan direalisasikan kerajaan meluluskan pembinaan muzium berkenaan menerusi Belanjawan 2026.
“Kita sudah mulakan proses tender dan dalam masa terdekat tender akan dibuka untuk pembinaan projek tersebut.
“Kita mempunyai lebih 76,000 koleksi sejarah di Malaysia yang akan ditempatkan di situ,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata, usaha mewujudkan pangkalan data perkongsian maklumat artifak muzium di seluruh negara masih dalam rundingan berikutan bidang kuasa muzium turut melibatkan kerajaan negeri. – UTUSAN










