Payudara seperti kubis bunga, rupanya kanser tahap akhir

Payudara seperti kubis bunga, rupanya kanser tahap akhir

WANITA disaran melakukan pemeriksaan kendiri bagi mengenali keadaan normal payudara masing-masing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Payudara wanita berusia 40-an ini sudah menggerutu hingga bentuknya menyerupai kubis bunga.

Malah, permukaan payudaranya turut dipenuhi ulser (luka) yang tidak sembuh-sembuh dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Rupa-rupanya, perubahan itu berpunca daripada kanser yang sudah berada pada tahap tiga hingga empat.

Lebih menyedihkan, sebelum itu dia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan atau rawatan di hospital.

Sebaliknya, perubatan tradisional yang menjadi ikhtiar untuk mengatasi masalah tersebut.

Bertahun-tahun lamanya, dia mengambil minuman air akar kayu dan herba.

Keadaan yang semakin teruk akhirnya membawa wanita ini ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pakar Perunding Pembedahan Payudara dan Onkoplastik Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr. Melissa Tan Ley Hui berkata, keadaan berkenaan dikenali sebagai kanser payudara fungating.

Ia berlaku apabila tumor menembusi kulit hingga menyebabkan luka dan perubahan pada permukaan payudara.

“Kebanyakan pesakit hanya tampil mendapatkan rawatan apabila keadaan mereka semakin teruk, contohnya luka yang mula berbau atau berdarah.

“Ketika itu, biasanya kanser sudah berada di tahap tiga atau empat, malah boleh merebak ke bahagian badan lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Di Malaysia, hampir 50 peratus pesakit kanser payudara dikesan pada tahap lewat.

Katanya, pesakit yang datang pada tahap itu biasanya berdepan keadaan lebih sukar berbanding mereka yang mendapatkan rawatan awal.

Rawatan juga boleh mengambil masa lebih panjang dan melibatkan banyak kaedah, sekali gus meningkatkan beban kos.

Dalam masa sama, keadaan pesakit yang semakin teruk boleh menjejaskan kehidupan harian serta emosi pesakit dan keluarga.

Kulit berubah hitam, payudara keras

Seorang lagi pesakitnya mengalami keadaan berbeza apabila payudaranya semakin mengeras.

Bukan itu sahaja, kulitnya juga perlahan-lahan bertukar hitam.

Melissa berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kanser yang dialami wanita berusia 40-an itu sudah berada pada tahap lewat.

“Walaupun berkhidmat dalam bidang kesihatan, malangnya dia tidak pernah membuat sebarang pemeriksaan.

“Sepanjang tempoh itu, dia mengakui meletakkan krim pada payudara untuk mengurangkan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, perasaan takut dan malu menghidap kanser masih menjadi antara punca wanita menangguhkan pemeriksaan.

Sedangkan, pengesanan awal penting bagi membolehkan rawatan diberikan lebih cepat dan meningkatkan peluang untuk sembuh.

Terdapat juga pesakit yang kekal dalam penafian sehingga menolak untuk memulakan rawatan selepas disahkan menghidap kanser.

Malah, ada yang memilih mencuba kaedah tradisional sekali gus mengetepikan pemeriksaan dan rawatan perubatan.

Beliau menegaskan, perubahan luar biasa pada payudara tidak seharusnya diabaikan atau dirawat sendiri tanpa pemeriksaan.

Rutin saringan mamogram

Sehubungan itu, Melissa menyeru wanita berusia 40 tahun ke atas supaya menjalani saringan mamogram sebagai langkah pengesanan awal kanser payudara.

Katanya, pemeriksaan berkala amat disarankan walaupun seseorang tidak mengalami sebarang perubahan atau masalah pada payudaranya.

Ini membolehkan sebarang kelainan dikesan lebih awal sebelum gejala menjadi lebih serius.

Katanya, rutin saringan juga boleh dimulakan lebih awal bagi wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara.

“Sebaiknya, mamogram dilakukan sekali dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Selain mamogram, beliau turut menggalakkan wanita melakukan pemeriksaan kendiri secara berterusan bagi mengenali keadaan normal payudara masing-masing.

Dalam masa sama, ia membantu mengenal pasti sebarang ketulan, perubahan bentuk atau keadaan kulit yang luar biasa.

Pemeriksaan itu boleh dibuat seminggu selepas haid kerana ketika payudara tidak terlalu bengkak atau sensitif.

“Bagi wanita yang sudah menopaus, lakukan pemeriksaan itu pada setiap awal bulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×