Melayu sudah terlalu lama berpecah

Melayu sudah terlalu lama berpecah

MASHITAH IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS sekian lama kurang kedengaran di pentas politik, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM kembali menyuarakan pandangan mengenai penyatuan Melayu dan arah politik semasa.

Baginya, penyatuan bukan sekadar soal rundingan, pembahagian kerusi atau kepentingan pilihan raya, sebaliknya memerlukan kepercayaan, kesediaan mengurus perbezaan serta usaha mencari titik persamaan.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau turut mengingatkan golongan profesional supaya tidak terus menjauhkan diri daripada politik kerana keputusan politik memberi kesan langsung kepada pendidikan, ekonomi, keselamatan dan masa depan negara.

Dalam temu bual yang turut disertai jurufoto, FIRDAUS M. JOHARI, beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) turut berkongsi perkembangan institusi pondok, termasuk usaha memperkukuh pendidikan dan kemahiran pelajarnya.


Utusan: Sebagai bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pemimpin wanita yang sebelum ini lantang menyuarakan pelbagai isu, kini suara Datuk dilihat semakin kurang kedengaran. Ke mana Datuk menghilang?

MASHITAH: Memang ada fasa naik turun dalam perjuangan. Saya melihat ramai profesional dan orang baik memilih untuk berdiam diri. Saya selalu katakan, jika orang baik terus diam, kemungkaran berlaku bukan semata-mata kerana terlalu ramai orang jahat tetapi kerana orang baik tidak bersuara.

Sebab itu kita perlu menyatakan pendirian. Jika orang baik berdiam diri, ruang itu akan diisi mereka yang lebih lantang sehingga suara mereka dianggap mewakili majoriti, sedangkan belum tentu begitu.

Ramai profesional menjauhkan diri daripada politik kerana tidak mahu berdebat atau bergaduh. Saya rasa mereka perlu kembali bersuara. Tidak perlu terlalu lantang tetapi perkara yang benar dan penting mesti disampaikan.

Suka atau tidak, keputusan politik tetap memberi kesan kepada pendidikan anak-anak, ekonomi keluarga, keselamatan, nilai agama dan masa depan negara. Sebab itu kita perlu mengambil tahu dan turut serta dalam proses membuat keputusan. Jika kita terus berdiam diri, siapa lagi yang akan menyuarakannya?

 

Bagaimana Datuk melihat saranan Presiden UMNO untuk penyatuan ummah?

Apabila melihat perkembangan politik hari ini, saya rasa banyak berlaku perpecahan, khususnya dalam kalangan orang Melayu. Hubungan UMNO dan Pas pula kadangkala seperti Tom dan Jerry, sekejap bergaduh, sekejap berbaik. Namun, saya melihat masih ada ruang untuk mencari titik pertemuan kerana suasana politik sekarang lebih menjurus kepada penyatuan.

Suka atau tidak, penyatuan bukan lagi sekadar pilihan. Parti politik Melayu semakin banyak dan tiada lagi satu parti yang memonopoli sokongan orang Melayu seperti dahulu. Malah, ada orang Melayu yang menyertai DAP.

Sebab itu kita tidak boleh terus berpecah. Penyatuan ummah, termasuk dalam politik, penting kerana kestabilan politik menjadi asas kepada pembangunan dan masyarakat.

Namun, penyatuan politik sahaja boleh menjadi rapuh kerana kepentingan bersama boleh berubah. Sebab itu ia perlu disusuli penyatuan dalam aspek ekonomi, nilai dan kepentingan bersama.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada Piagam Madinah yang menyatukan masyarakat pelbagai kelompok dengan meraikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada perkara yang boleh dikongsi bersama.

Penyatuan tidak bermakna semua pihak perlu berada dalam satu parti. Kita masih boleh berbeza parti tetapi mengurangkan permusuhan. Apabila ada kepentingan bersama, kita boleh duduk semeja, mencari persamaan dan mengurus perbezaan.

Yang penting, penyatuan perlu diterjemahkan dalam tindakan. Walaupun bertanding dalam pilihan raya, kita perlu tahu bila perlu bekerjasama dan meletakkan kepentingan bersama mengatasi perbezaan.

 

Bagaimana mahu menyatu jika masing-masing sudah menetapkan batas?

Itulah yang berlaku sekarang. Isu sebenarnya bukan sekadar sama ada Pas dan UMNO boleh berdamai. Saya bukan penganalisis politik tetapi bercakap dari sudut orang di bawah yang melihat apa berlaku di peringkat atas.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membina kepercayaan yang cukup kukuh untuk bersatu dan memastikan perpecahan yang pernah berlaku tidak berulang. Kita pernah berada pada tahap hampir untuk bersama tetapi akhirnya berpecah. Sebab itu, kepercayaan menjadi asas paling penting jika penyatuan mahu dibina semula.

 

Bagaimana mahu dapat kepercayaan itu?

Kalau dahulu pada zaman Rasulullah SAW ada gencatan senjata, saya rasa hari ini kita perlukan pula gencatan mengata. Jangan setiap kali bercakap tentang penyatuan, masih ada sindiran, tuduhan dan kata-kata yang merenggangkan hubungan.

Penyatuan juga bukan sekadar soal pembahagian kerusi atau pilihan raya. Jangan kita ukur penyatuan berdasarkan berapa kerusi kita dapat atau berapa yang perlu diberikan kepada pihak lain. Yang lebih penting ialah kepentingan bersama dan kemampuan mengurus perbezaan.

Jika ada pihak yang kalah, mereka tetap perlu dihormati dan diberi ruang menyumbang pandangan. Akhirnya, kepentingan umat Islam dan masyarakat perlu diutamakan.

Banyak perkara kita tertinggal kerana terlalu sibuk berpolitik. Anak-anak Melayu, termasuk golongan profesional, tercicir dalam pelbagai bidang, sedangkan kos sara hidup semakin tinggi. Ramai anak muda terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung kehidupan.

Sebab itu, penyatuan tidak boleh dilihat dari sudut politik semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada usaha menangani masalah ekonomi, memperkukuh masyarakat dan memastikan masa depan generasi muda lebih terjamin.

 

Tidak sepatutnya UMNO cabar Pas ‘uji keikhlasan’ di negeri SG4 ?

Sepatutnya penyatuan dilihat secara menyeluruh dengan meletakkan kepentingan orang Melayu sebagai keutamaan. Saya bercakap bukan sebagai penganalisis politik tetapi sebagai insan yang mendengar suara rakyat.

Kita sudah muak dengan perkara yang sama. Dahulu kita beri peluang kerana melihat ada harapan untuk kehidupan lebih baik, tetapi banyak yang masih belum berubah. Kita sudah beri UMNO, PKR dan Pas. Sekarang rakyat mungkin mahu mencuba yang lain pula.

Kita terlalu sibuk berpolitik sehingga terlupa perkara lebih besar, termasuk masa depan anak-anak, golongan profesional dan media yang semakin kehilangan ruang. Dalam perjuangan UMNO atau Pas, Melayu dan Islam tidak hilang. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kedudukannya. Namun, rakyat mahu melihat tindakan, bukan sekadar perbalahan.

Politik memang soal kuasa kerana kuasa membolehkan perubahan dasar dilakukan. Jadi, daripada kita terus berpecah, mengapa tidak kekuatan yang terpisah itu disatukan?

Penyatuan politik boleh menjadi payung strategi tetapi tidak boleh berhenti di situ. Ia perlu disusuli usaha memperkukuh ekonomi dan mengecilkan jurang antara golongan kaya dengan rakyat biasa.

 

Komen berhubung dakwaan terlibat dalam sindiket perdagangan manusia dan akhirnya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu tiada bukti penglibatan Datuk?

Satu perkara besar yang saya belajar ialah perlu lebih berhati-hati memilih kawan. Atas dasar persahabatan, saya menerima pelawaan untuk ke Myanmar. Ketika itu saya tidak terlalu memikirkan dengan siapa saya bergambar atau siapa yang berada di sekeliling saya. Kita fikir orang yang mengajak kita itu baik, jadi kita pun bersangka baik.

Saya belajar supaya lebih berhati-hati dengan siapa kita pergi dan jangan terlalu mudah menganggap semua orang mempunyai niat yang sama. Saya juga belajar apabila sesuatu berlaku, keluarga turut boleh terheret. Memang sakit untuk bangkit tetapi akhirnya kita perlu percaya kepada keadilan dan proses undang-undang.

Saya berjuang untuk membersihkan nama saya dan berterima kasih kepada pihak polis kerana menjalankan siasatan sehingga selesai. Kalau benar berlaku perdagangan manusia, mana mangsanya? Dalam perkara ini tiada mangsa. Tuduhan seperti itu boleh merosakkan reputasi seseorang.

Pengalaman ini mengajar saya supaya tidak lemah dan terus bersuara. Ini bukan kali pertama saya melalui perkara seperti ini. Saya pernah berdepan situasi sama di Parlimen apabila kenyataan saya dipetik tanpa keseluruhan konteks.

Semua itu mematangkan saya. Hari ini saya tidak mahu takut untuk bercakap kerana jika kita diam, suara kelompok kecil yang lantang boleh dilihat seolah-olah mewakili semua orang.

Itulah asam garam politik. Saya ibaratkan politik seperti sambal belacan, pedas tetapi tetap mahu dimakan. Kadang-kadang pedih tetapi kita perlu terus berada dalam proses.

Jangan biarkan politik dimonopoli orang lain. Jangan hanya menuding jari apabila sesuatu sudah berlaku. Kita perlu menjadi sebahagian daripada proses dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.


Pondok perlu melahirkan generasi berkemahiran

Bagaimana perkembangan institusi pondok sejak penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia?

Sejak ditubuhkan pada 2012 hingga kini, kita dapat melihat perkembangan yang sangat ketara dari segi jumlah pondok. Ketika bancian pertama, hanya terdapat 112 buah pondok, meningkat kepada 162 buah pada bancian kedua pada 2017. Rekod terkini menunjukkan jumlah itu kini mencecah 338 buah pondok.

Pertambahan ini menunjukkan minat masyarakat terhadap pengajian agama semakin meningkat dan institusi pondok terus mendapat tempat di hati masyarakat. Namun, pada masa sama, perkembangan ini memerlukan keprihatinan kerajaan untuk turut mengambil tanggungjawab membantu pondok-pondok berkenaan.

 

Bantuan bagaimana yang diharapkan daripada kerajaan?

Antara perjuangan sejak ditubuhkan pada 2012 ialah memastikan kerajaan menyediakan peruntukan khusus kepada institusi pondok dalam belanjawan tahunan. Usaha ini mula mendapat perhatian kerajaan sejak era Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pondok dan tahfiz sebenarnya berbeza. Tahfiz fokus pengajian dan hafazan al-Quran, manakala pondok menekankan pengajian kitab-kitab turath serta melibatkan pelajar pelbagai peringkat usia, termasuk warga emas.

Peruntukan untuk sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat meningkat namun, banyak pondok masih ketinggalan kerana proses permohonan yang rumit, kekangan teknologi serta syarat tertentu, termasuk berkaitan struktur bangunan dan keselamatan.

Pada awal perjuangan, sekitar 2012 hingga 2017, kami mengusahakan bantuan secara langsung kepada guru pondok. Kini bantuan disalurkan melalui sistem permohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Yayasan tidak terlibat dalam pengagihan peruntukan. Peranan kami adalah memperjuangkan dana untuk institusi pondok serta membantu menyediakan data dan maklumat. Pembahagian peruntukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jakim.

Kerjasama lebih erat antara Jakim dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai data pondok amat diperlukan supaya bantuan dapat disalurkan kepada institusi yang benar-benar memerlukannya.

 

Masalah paling daif di sekolah pondok di bawah kelolaan Datuk?

Selain masalah infrastruktur turut melibatkan penguasaan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI). Sebab itu, usaha terkini kami adalah membawa pelajar pondok secara berperingkat ke Pusat Sebaran Khidmat Nasional (NADI) untuk mengikuti kursus AI. Mereka diharapkan dapat menjadi penggerak kepada sekolah pondok dalam urusan teknologi, termasuk membantu membuat permohonan bantuan dan menguruskan perkara berkaitan secara dalam talian.

Usaha memberikan ilmu AI tidak akan terhenti. Pelajar yang dilatih akan menamatkan pengajian dan meninggalkan pondok. Jadi, proses melatih kumpulan baharu perlu diteruskan supaya pengetahuan itu sentiasa ada dalam kalangan anak-anak pondok.

Apabila kita bercakap mengenai infrastruktur, merangkumi kemudahan asas seperti asrama dan tempat tinggal. Jika dibandingkan dengan pondok pesantren di Indonesia, kita masih agak jauh ketinggalan. Mereka sudah mampu berdiri sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Di Malaysia, masih ada ibu bapa yang menghantar anak ke pondok tanpa menyediakan wang perbelanjaan. Atas sifat ihsan dan kemanusiaan, guru tetap menerima mereka. Akibatnya, ada pondok yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan. Kadangkala saya melihat keadaan mereka di media sosial, termasuk perkongsian tentang makanan yang hanya mampu disediakan pada hari berkenaan.

Mengapa institusi yang mendidik generasi dalam ilmu agama dan kitab turath perlu berada dalam keadaan sebegitu? Mengapa mereka masih perlu bergantung kepada sumbangan dan sedekah untuk meneruskan operasi?

Di Indonesia, sebahagian institusi pesantren memanfaatkan dana wakaf sebagai modal pusingan sehingga mampu membiayai pembangunan sendiri, malah ada yang mempunyai universiti. Pendidikan mereka berkembang daripada peringkat rendah dan menengah hingga ke pengajian tinggi. Pelajar juga dibekalkan penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang baik, sekali gus membuka peluang lebih luas selepas tamat pengajian.

Sebab itu, institusi pondok di Malaysia perlu terus meningkatkan kualiti supaya tidak hanya dilihat penting ketika Ramadan untuk menjadi imam, membaca al-Quran atau menguruskan jenazah. Peranan mereka jauh lebih besar dengan sepatutnya menjadi pemangkin perubahan masyarakat dan melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang.

Kita sudah melihat usaha ke arah itu, termasuk apabila pengajian pondok mula diserapkan ke institusi seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Namun, perjuangan ini masih panjang untuk memastikan lebih banyak pondok dapat berkembang dan turut berada dalam arus pendidikan perdana.

 

Bagaimana masa depan pelajar pondok?

Beberapa perkembangan kebelakangan ini memberi harapan kepada pelajar apabila kolej universiti dan USIM membuka peluang menyambung pengajian. Walaupun sebahagian tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun laluan berasaskan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) membolehkan mereka mendapatkan kelayakan tertentu.

Kita juga mahu pelajar pondok menguasai kemahiran lain seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), komputer dan teknologi. Namun, ada guru bimbang pelajar terlalu tertarik dengan kemahiran tersebut sehingga meninggalkan pengajian kitab. Kebimbangan itu perlu dihormati dan pendekatan seimbang perlu dicari.

Pelajar pondok boleh menjadi ustaz tetapi pada masa sama mempunyai kemahiran lain seperti membaiki motosikal. Ini menjadikan mereka lebih berdikari dan mempunyai nilai tambah.

Sebagai anak yang lahir daripada pondok, saya mahu terus memperjuangkan perkara ini supaya pelajar bukan sahaja menguasai ilmu agama tetapi turut mempunyai kemahiran tambahan untuk menjadi aset kepada masyarakat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×