PETALING JAYA: Kuartet 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki menjadi penyelamat kem renang negara apabila berjaya menempah tiket ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Diketuai Khiew Hoe Yan, kuartet yang turut dibarisi Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal itu mencatat 7 minit 22.05 saat (s) untuk muncul ketiga dalam Saringan 2.
Catatan berkenaan bagaimanapun meletakkan Malaysia di kedudukan kelima keseluruhan, di belakang kuartet gergasi Asia, China yang merekodkan 7:11.70s dan Jepun (7:13.02s).
Walaupun gagal memperbaharui rekod kebangsaan 7:18.55s yang dicipta Hoe Yan, Terence Ng, Ananda dan Arvin, kuartet negara tetap berpeluang memburu keputusan lebih baik pada final malam ini.
Sementara itu, harapan Andrew Goh untuk meneruskan cabaran dalam acara 100m kuak dada lelaki tidak kesampaian selepas sekadar mencatat 1:03.50s dalam Saringan 3.
Catatan itu menyaksikan Andrew menduduki tempat ke-23 keseluruhan dan gagal menempah tiket ke final, sedangkan dia hadir sebagai pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 1:01.39s yang dilakar pada Sukan Malaysia (Sukma), bulan lalu.
Perenang Jepun, Shin Ohashi yang menjuarai Saringan 3 dengan 59.38s muncul antara pencabar terpantas ke final bersama wakil Korea Selatan, Choi Dong Yeol (59.53s) dan Hong Kong, Adam Mak Sai Ting (1:00.25s).
Dalam acara 50m gaya bebas lelaki pula, Malaysia gagal menempatkan wakil ke final selepas Ananda dan Tong Yu Jing masing-masing terkandas di saringan.
Ananda merekodkan 23.16s untuk menduduki tempat ketujuh Saringan 3, manakala Yu Jing tidak memulakan perlumbaan (DNS), sekali gus menyaksikan Yin Chuen sekadar berada di kedudukan ke-24 daripada 48 perenang.
Perenang Korea Selatan, Kim Young Beom mencuri tumpuan apabila mencatat 21.71s untuk merekodkan masa terpantas, sekali gus memecahkan rekod Temasya 21.72s milik Ji Yu Chan yang dilakukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.-UTUSAN











