PETALING JAYA: Skuad badminton wanita kebangsaan mudah membenam Hong Kong 3-0 di peringkat 16 terbaik dan sekali gus mara ke suku akhir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Aichi, Jepun, hari ini.
Bagaimanapun, kemenangan itu sememangnya telah dijangka dan ujian sebenar Malaysia adalah berdepan juara bertahan, Korea Selatan, Selasa ini bagi mencari laluan ke separuh akhir.
Pemain perseorangan No. 28 dunia, K. Letshanaa menghadiahkan mata pertama skuad negara apabila dia tidak berdepan masalah mengetepikan Happy Lo 21-9, 21-16.
Kemenangan itu diteruskan beregu No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-11, 21-17 bagi meletakkan Malaysia mendahului selesa 2-0.
Wong Ling Ching yang menghuni ranking No. 38 dunia memastikan skuad negara mengutip mata kemenangan apabila menundukkan pemain ke-100 dunia, Liang Ka Wing 21-17, 21-14.
Kejayaan diukir anak jati Miri, Sarawak itu juga tidak memerlukan beregu kedua, Cheng Su Yin-Low Zi Yu dan perseorangan ketiga, Oo Shan Zi turun ke gelanggang.
Sementara itu, pada suku akhir bertemu Korea Selatan, bukan hendak menidakkan peluang skuad wanita negara, tetapi, pasukan pilihan ke-3/4 itu terlalu kuat buat mereka.
Namun, Malaysia yang membariskan rata-rata pemain muda diharap tidak mudah gentar dan memberikan tentangan terbaik kepada pemenang pingat emas Temasya Hangzhou di China, empat tahun lalu itu. – UTUSAN











