OBS dapat diskaun caruman 50% Perkeso

OBS dapat diskaun caruman 50% Perkeso

Orang bekerja sendiri (OBS) yang mengunjungi Festival Mega iLINDUNGu berpeluang menikmati manfaat diskaun caruman sebanyak 50 peratus bagi memperbaharui perlindungan sosial menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang bekerja sendiri (OBS) yang mengunjungi Festival Mega iLINDUNGu menikmati manfaat diskaun caruman sebanyak 50 peratus bagi memperbaharui perlindungan sosial menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50.

Festival Mega iLINDUNGu anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung dari Jumaat dan berakhir semalam kembali menemui masyarakat dengan membawa perkhidmatan perlindungan sosial lebih yang lebih dekat.

Menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50, OBS yang layak hanya perlu membayar RM116.40 atau separuh daripada jumlah caruman Pelan 2 sebanyak RM232.80, manakala bakinya dibiayai kerajaan.

Ini bermakna, OBS yang layak hanya perlu membayar jumlah itu untuk memperbaharui dan menikmati perlindungan LINDUNG Kendiri bagi tempoh 12 bulan.

Inisiatif berkenaan khusus kepada OBS yang memperbaharui caruman LINDUNG Kendiri dalam sektor bukan mandatori di bawah Pelan 2 dan dilaksana sebagaimana diumumkan ketika pembentangan Belanjawan MADANI 2026.

Pencarum, Abdul Hakim Nordin berkata, inisiatif KENDIRI Padanan50 ini dapat meringankan beban caruman golongan bekerja sendiri, selain memberi peluang kepada mereka mendapatkan perlindungan sosial pada kadar lebih rendah.

“Dengan diskaun caruman sebanyak 50 peratus ini, kami hanya perlu membayar dengan kadar yang sangat murah untuk mendapatkan perlindungan selama setahun.

“Inisiatif seperti ini sangat membantu golongan bekerja sendiri yang perlu menanggung sendiri kos perlindungan sosial,” katanya ketika ditemui di festival berkenaan.

Beliau turut memuji penganjuran Festival Mega iLINDUNGu kerana memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kemudahan PERKESO.

Dalam pada itu, pemohon inisiatif ini hanya perlu sediakan dokumen sokongan termasuk salinan mykad dan mengemukakan sebarang dokumen pembuktian berkaitan pekerjaan sendiri yang dijalankan.

Selain itu, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan pekerjaan daripada agensi atau pihak berkuasa berkaitan tertakluk kepada jenis sektor.

Antara sektor bukan mandatori yang disenaraikan ialah pertanian, penternakan, perhutanan, perikanan, pembuatan, pembinaan, makanan, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat dan pemprosesan data.

Ia juga turut meliputi perkhidmatan profesional, perkhidmatan sokongan, kesenian, ejen, per­khidmatan isi rumah serta penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan.

Dengan bayaran RM116.40 itu, pencarum memperoleh antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat.

Perlindungan turut merangkumi kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dengan tempoh perlindungan bermula selepas PERKESO menerima bayaran 50 peratus daripada pemohon.

Permohonan dan bayaran boleh dilakukan di Portal Prihatin, aplikasi Prihatin PERKESO, kaunter pejabat PERKESO berdekatan serta ejen korporat atau ejen individu LINDUNG Kendiri yang sah dilantik PERKESO.

Sebanyak 11 kategori kumpulan sasaran disenaraikan di bawah inisiatif tersebut iaitu KENDIRI Agro 2026, KENDIRI Lain Upaya 2026, KENDIRI Asal 2026, KEN­DIRI Seni 2026, KENDIRI Sukan 2026 dan KENDIRI Didik 2026.

Ia turut merangkumi KENDIRI Servis 2026, KENDIRI Pelancongan 2026, KENDIRI Pemimpin Masyarakat 2026, KENDIRI Pe­khidmat Rumah Ibadat 2026 dan KENDIRI Sukarelawan 2026.

Bagi OBS yang pertama kali ingin mencarum dengan LINDUNG KENDIRI juga berpeluang menikmati manfaat diskaun caruman 70 peratus menerusi inisiatif KENDIRI Padanan70. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×