Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar minggu ini

Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar minggu ini

SENTIMEN pasaran masih disokong harga minyak yang tinggi dan pemulihan saham semikonduktor di Wall Street.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak secara mendatar dan tidak menentu pada minggu ini dengan aktiviti penggiliran minat pelabur mengikut sektor.

Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, tekanan utama terhadap pasaran dijangka datang daripada pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat, peningkatan hasil bon negara itu serta pengukuhan dolar AS.

Katanya, sentimen pasaran masih disokong harga minyak yang tinggi dan pemulihan saham semikonduktor di Wall Street.

“Fed baru menaikkan kadar faedah, manakala hasil bon AS 10 tahun telah melepasi lima peratus, menyebabkan pelabur global lebih berhati-hati terhadap aset berisiko.

“Justeru itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat tertentu dan bukannya mencatatkan kenaikan menyeluruh.

“Minat belian berkemungkinan tertumpu kepada sektor yang mempunyai pemangkin khusus, manakala saham berharga tinggi dan sensitif terhadap kadar faedah berpotensi mengalami pengambilan untung,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, pergerakan ringgit, harga minyak dan aliran dana asing akan menjadi petunjuk penting kepada pasaran.

“Penutupan positif Nasdaq pada Jumaat boleh membantu sentimen terhadap saham teknologi pada awal minggu, tetapi kenaikan hasil bon mengehadkan ruang kenaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, sektor perbankan berpotensi menjadi antara penentu utama arah FBM KLCI minggu ini berikutan pemberatnya yang besar dalam indeks.

Katanya, antara kaunter yang boleh diberi perhatian ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad, Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad.

“Jika bank-bank besar kekal stabil, FBM KLCI boleh bertahan walaupun prestasi keseluruhan pasaran bercampur.

“Bagaimanapun, kenaikan kadar faedah AS tidak semestinya meningkatkan keuntungan bank Malaysia secara langsung kerana kadar domestik masih ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan pasaran tidak menentu, sektor utiliti dan saham defensif turut berpotensi menerima pengaliran dana berikutan pendapatan yang lebih stabil.

“Antara kaunter yang boleh diperhatikan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad, Maxis Berhad dan YTL Power International Berhad.

“Dalam pada itu, sektor minyak dan gas dijangka menjadi antara sektor paling aktif minggu depan berikutan harga minyak mentah Brent yang masih melebihi AS$100 (RM408.21) setong walaupun mengalami sedikit penurunan.

“Keadaan ini dijangka me­ngekalkan minat terhadap kaunter minyak dan gas termasuk Hibiscus Petroleum Berhad, Bumi Armada Berhad, Dialog Group Berhad, Dayang Enterprise Holdings Berhad dan Velesto Energy Berhad.

“Sektor ini mempunyai pemangkin paling jelas, tetapi pelabur perlu mengelak daripada mengejar harga sekiranya kaunter terus mencatatkan kenaikan mendadak pada pembukaan Isnin,” katanya.

Sementara itu, Jeffry berkata, sektor teknologi dan semikonduktor berpotensi mencatatkan pemulihan secara terpilih selepas Nasdaq ditutup lebih tinggi pada Jumaat, dibantu saham semikonduktor.

“Pelancaran global produk baharu Apple turut berpotensi mengekalkan perhatian terhadap rantaian bekalan elektronik.

“Antara kaunter yang boleh diberi perhatian termasuk Inari Amertron Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Unisem (M) Berhad, Frontken Corporation Berhad dan ViTrox Corporation Berhad.

“Bagaimanapun, sektor tek­nologi masih sensitif terhadap hasil bon AS. Oleh itu, kenaikan mungkin bersifat terpilih dan bukan semua saham teknologi akan meningkat secara serentak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×