PETALING JAYA: Jualan runcit Malaysia meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, jauh lebih rendah berbanding unjuran awal 4.8 peratus.
Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin berkata, prestasi lebih lemah daripada jangkaan itu disebabkan sentimen pengguna yang lebih berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan inflasi akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Katanya, ia berdasarkan laporan Malaysia Retail Industry Report oleh Retail Group Malaysia (RGM) yang diterbitkan pada September 2026.
“Pertumbuhan jualan runcit yang lebih perlahan itu berlaku walaupun suku itu mendapat manfaat daripada asas perbandingan yang lebih rendah pada suku sama tahun sebelum berikutan Ramadan.
“Namun, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal pada 2026 menyebabkan perbelanjaan selepas musim perayaan susut lebih ketara pada suku kedua tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Walter, prestasi subsektor runcit pada suku kedua itu adalah bercampur dengan hanya tiga kategori merekodkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun.
“Fesyen dan aksesori mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 12.9 peratus, diikuti penjagaan diri sebanyak 4.1 peratus dan farmasi sebanyak 3.7 peratus.
“Pertumbuhan kukuh dalam kategori fesyen dan aksesori sebahagian besarnya disebabkan kesan asas perbandingan yang menggalakkan, apabila Hari Raya Aidilfitri 2025 jatuh pada penghujung Mac, menyebabkan permintaan selepas musim perayaan lebih lemah pada suku kedua 2025,” katanya
Sementara itu, kategori penjagaan diri dan farmasi terus mendapat manfaat daripada peningkatan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan, permintaan yang agak tidak anjal serta rangkaian produk lebih luas dalam kalangan peruncit farmasi.
“Sebaliknya, jualan gedung serbaneka merosot 7.2 peratus, gedung serbaneka berserta pasar raya susut 2.4 peratus, manakala jualan pasar raya dan pasar raya besar menguncup 9.0 peratus.
“Jualan kelengkapan rumah turut menurun 5.8 peratus, sementara jualan kedai runcit khusus lain berkurangan 3.4 peratus.
“Perbezaan prestasi itu mencerminkan perbelanjaan pengguna yang semakin selektif, dengan isi rumah mengurangkan pembelian mengikut budi bicara sambil mengutamakan barangan keperluan harian,” katanya.
Bagaimanapun, RGM mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan runcit Malaysia pada 3.8 peratus bagi 2026 dan menjangkakan pertumbuhan meningkat kepada 4.7 peratus pada suku ketiga 2026. – UTUSAN











