GAZA: Hospital Pakar Kuwait di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, menggantung operasi di semua jabatan kecuali perkhidmatan kecemasan pada Ahad selepas bekalan bahan api terputus susulan sekatan Israel.
Hospital berkenaan memberi amaran jika krisis itu berterusan, ribuan penduduk tidak lagi berpeluang mendapatkan rawatan perubatan yang amat diperlukan setiap hari.
“Kami amat kesal untuk memaklumkan operasi di jabatan hospital digantung, kecuali jabatan kecemasan, mulai hari ini berikutan terhentinya bekalan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan kemudahan ini,” menurut hospital itu dalam satu kenyataan.
Perkembangan itu berlaku ketika kesan perang Israel di Semenanjung Gaza terus dirasai, termasuk sekatan yang diperketatkan serta serangan meluas terhadap infrastruktur dan sistem penjagaan kesihatan di wilayah berkenaan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu.-AGENSI











