Belanjawan: KPDN mahu isu subsidi, bantuan rakyat terus diberi perhatian

Belanjawan: KPDN mahu isu subsidi, bantuan rakyat terus diberi perhatian

ARMIZAN Mohd. Ali ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap agar isu subsidi kepenggunaan termasuk subsidi minyak, bantuan tunai serta bantuan sosial akan terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang pada 9 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, subsidi kepenggunaan dan bantuan untuk rakyat itu penting untuk diteruskan meskipun kerajaan berdepan cabaran yang besar susulan kenaikan kos bahan api di peringkat global.

“Jadi, ini antara permintaan penting kita (KPDN) kepada MOF (Kementerian Kewangan) iaitu subsidi bahan api termasuk SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) dikekalkan. Begitu juga dengan subsidi minyak masak serta program penyeragaman harga barang untuk Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kita turut berharap program bantuan lain untuk rakyat seperti sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan lain diteruskan dan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, malam ini.

Sementara itu, Armizan memberitahu, isu kos sara hidup merentasi pelbagai kementerian dijangka dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar lbrahim pada 29 September ini.

“Jadi, ruang akan diberi melalui lapan kluster yang ada di bawah NACCOL untuk kementerian-kementerian yang terlibat mengemukakan inisiatif yang berkaitan sama ada baharu atau sedia ada untuk memperkukuh bantuan yang terkait dengan kos sara hidup rakyat,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×