KUANTAN: Dakwaan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan dan menyalahkan UMNO berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah adalah tidak wajar serta bertentangan dengan fakta perundangan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, keputusan tersebut secara jelas tertakluk di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan dan bukan ditentukan oleh mana-mana parti politik.
Menurut beliau, keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 itu yang bermesyuarat pada 18 September lalu adalah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, menerusi keputusan itu, Najib diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syaratan tertentu termasuk bayaran denda RM50 juta.
“Proses ini dilaksanakan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar mendesak agar semua pihak menghentikan naratif politik yang mengelirukan rakyat dengan tuduhan kononnya UMNO mempunyai kuasa mutlak atau campur tangan dalam menentukan keputusan perundangan tersebut.
Mengulas tentang penglibatan kerajaan, beliau menjelaskan bahawa mengikut Perlembagaan, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan hanya bertindak sebagai salah seorang anggota Lembaga Pengampunan.
Malah, beliau menarik perhatian kepada penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh sebelum ini yang meyakinkan bahawa kuasa dan keputusan akhir pengampunan kekal terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.
Mohd. Sharkar turut menepis dakwaan palsu yang tular di media sosial kononnya Hannah Yeoh sudah menandatangani perintah tahanan rumah berkenaan, sedangkan menteri itu sendiri telah membuat penafian rasmi.
Beliau menekankan bahawa status terkini Najib bukanlah satu kebebasan mutlak, sebaliknya merupakan bentuk pengampunan bersyarat yang mewajibkan patuhan ketat terhadap terma yang ditetapkan.
“Sekiranya sebarang syarat yang ditetapkan itu dilanggar pada bila-bila masa, pengampunan bersyarat berkenaan boleh terbatal serta-merta dan Najib perlu kembali menjalani baki hukumannya di penjara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat dan pemain politik supaya sentiasa meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan prinsip kedaulatan Perlembagaan negara tanpa memutarbalikkan fakta demi kepentingan politik sempit. – UTUSAN











