Korban serangan ibu pejabat polis Pakistan meningkat

Korban serangan ibu pejabat polis Pakistan meningkat

ANGGOTA tentera berkawal di sebelah runtuhan susulan insiden letupan di ibu pejabat polis di Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOHAT: Angka kematian akibat letupan dan serangan bersenjata di sebuah ibu pejabat polis di utara Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota, manakala lebih 100 lagi cedera.

Serangan berlaku di kompleks Old Police Lines di Kohat, bandar berpenduduk kira-kira 220,000 orang di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KP), petang kelmarin.

“Sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota polis, terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera setakat ini dalam serangan militan dan pengeboman berani mati itu,” kata pegawai kanan polis kepada AFP semalam.

Kompleks polis itu berfungsi sebagai ibu pejabat polis peringkat daerah dan menempatkan pejabat penting Jabatan Antikeganasan (CTD), Cawangan Khas serta beberapa unit polis lain.

“Beberapa militan masih berlindung di bahagian Cawangan Khas di Kompleks Polis Kohat.

“Pertempuran dengan mereka berterusan sejak lewat malam Jumaat. Jumlah sebenar mereka masih belum dapat dipastikan,” kata pegawai polis itu kepada AFP dengan syarat tidak dinamakan.

Menurut kenyataan pegawai kesihatan daerah Kohat lewat Jumaat, lebih 100 orang cedera, sebahagian besar daripadanya anggota polis, manakala beberapa mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Kumpulan militan tempatan Ittehad-ul-Mujahideen Pakistan, sebuah puak yang mempunyai kaitan dengan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) atau Taliban Pakistan, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Pakistan menyalahkan peningkatan serangan di KP dan wilayah Balochistan di selatan yang bersempadan dengan Afghanistan berpunca daripada kegiatan militan dari jiran, namun kerajaan Taliban menafikan penglibatan negara itu.

Tuduhan itu mencetuskan pertikaian sengit dan konflik bersenjata antara kedua-dua negara, manakala Pakistan melancarkan serangan udara maut yang didakwanya menyasarkan militan di wilayah Afghanistan.

Kerajaan Taliban di Kabul dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, puluhan orang awam terbunuh dalam serangan udara terbaharu Pakistan ke atas timur Afghanistan pada Jun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×