Ikan baulu tanpa tulang di Bunga Cafe Tawau

Ikan baulu tanpa tulang di Bunga Cafe Tawau

Antara menu ikan baulu tanpa tulang yang mendapat sambutan ramai pengunjung tempatan dan luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IKAN baulu cukup dekat dengan selera masyarakat Sabah, khususnya penduduk di bahagian Pantai Timur seperti Daerah Tawau.

Spesies yang memiliki nama saintifik Chanos chanos itu turut dikenali sebagai ikan bandeng di Indonesia dan ikan susu di Semenanjung Malaysia.

Meski pun mempunyai isi yang tebal, ikan berkenaan terkenal dengan tulangnya yang banyak sehingga membuatkan sesetengah individu terutama generasi muda dan pelancong menolak untuk menikmatinya.

Namun, kemunculan ikan baulu tanpa tulang mengubah keadaan itu. Kini, hidangan berkenaan bukan sahaja lebih mudah dinikmati, malah diberi sentuhan baharu menerusi pelbagai cara masakan yang membuka selera.

Di Bunga Cafe Tawau, ikan baulu tanpa tulang menjadi antara menu utama yang diketengahkan kerana cukup dekat dengan cita rasa masyarakat tempatan.

Pemiliknya, Bungawatie Lahata, 29, berkata, menu itu diperkenalkan selepas meneliti corak permintaan pelanggan dan melihat sendiri bahawa ikan berkenaan sememangnya digemari masyarakat.

“Ketika Bunga Cafe mula dibuka pada 2018, menu ikan baulu belum ada di restoran saya. Sepanjang berniaga, kita belajar dan mencari idea berkenaan makanan yang disukai orang Tawau.

“Saya dapati ikan baulu ini adalah salah satu menu tarikan di Tawau. Jadi, kita ambil menu ikan baulu itu, tetapi kita variasikan dengan pelbagai jenis mengikut cara Bunga Cafe sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Bungawatie kini menawarkan lima variasi ikan baulu tanpa tulang iaitu digoreng biasa, geprek, gepuk, bakar dan masak tiga rasa.

Setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri bagi memenuhi selera pelanggan daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Bagi pelanggan yang menggemari makanan pedas, ikan baulu geprek adalah pilihan terbaik kerana dihidangkan bersama sambal yang menggunakan kira-kira 90 peratus cili padi manakala versi gepuk pula menggunakan sambal resipi sendiri bersama kacang gajus dengan tahap kepedasan lebih sederhana.

 

 

“Ikan baulu bakar pula menjadi pilihan pelanggan yang menggemari cita rasa lebih tradisional, manakala masak tiga rasa dengan kombinasi masam dan manis lebih sesuai dinikmati bersama keluarga.

“Ikan baulu goreng biasa antara menu yang paling mendapat tempat di hati ramai pelanggan kerana boleh dimakan oleh semua peringkat umur. Menu itu dihidangkan bersama sayur kubis, sambal tomato, keropok ikan, dan mangga,” katanya.

Menurut Bungawatie, sambutan terhadap menu itu cukup menggalakkan apabila dua cawangan restorannya yang terletak di kawasan Fajar dan Garden City Tawau menggunakan kira-kira 10 kilogram ikan baulu sehari.

 

 

Malah, bekalan pada kadar sama diambil hampir setiap hari atau kira-kira 28 hari dalam sebulan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau tidak menyimpan stok ikan secara berlebihan kerana kesegaran menjadi perkara paling utama bagi memastikan rasa dan kualiti hidangan terpe­lihara.

Katanya, langkah itu membantu mengelakkan bau hanyir yang sering menjadi kebimbangan sesetengah pelanggan terutama pelanggan yang pertama kali mahu mencuba ikan baulu.

“Apabila ikan sudah melebihi dua hari, saya tidak akan hidang kepada pelanggan. Ikan tidak boleh disimpan terlalu lama kerana rasa dan kualitinya akan berubah.

 

 

 

“Saya juga elak ambil bekalan ikan daripada pembekal secara rawak. Saya akan ambil daripada yang memang saya percaya dan pilih mengikut saiz ikan yang sama,” katanya.

Tambah beliau, hidangan berkenaan turut menarik perhatian pengunjung dari Semenanjung Malaysia dan luar negara yang datang mencari makanan laut popular di Tawau.

Lima pilihan masakan ikan baulu membuatkan hidangan itu lebih mudah diperkenalkan kepada mereka yang pertama kali mencubanya.

“Biasanya pelanggan terkejut apabila mengetahui ada ikan baulu tanpa tulang. Kami akan beritahu bahawa ini antara menu popular masyarakat Tawau dan mereka boleh memilih daripada lima jenis masakan.

“Selepas mencubanya, kebanyakannya suka kerana ikan itu segar, sedap dan mudah dimakan tanpa perlu risau tentang tulangnya,” katanya.

Bungawatie yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau sebenarnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang makanan, namun memilih industri itu kerana minat berniaga.

Bermula dengan sebuah restoran pada 2018, perniagaannya kini berkembang kepada dua cawangan dengan 27 pekerja termasuk pasukan yang menguruskan pembelian bahan mentah, penghantaran dan dapur utama.

Bagi Bungawatie, cabaran terbesar dalam perniagaan makanan bukan sekadar menghasilkan menu yang sedap, tetapi memahami selera pelanggan yang berbeza-beza dan menawarkan harga yang mampu dinikmati ramai.

“Kita memang tidak dapat memenuhi cita rasa semua orang. Jadi, kami memilih untuk mengutamakan selera majoriti masyarakat Tawau.

“Pada masa sama, kami mahu menyediakan makanan yang sedap, kenyang dan berharga sederhana supaya bukan sahaja masyarakat tempatan, malah pelancong juga boleh datang menikmatinya,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×